JAKARTA – Sebanyak 1,576 kejutan lanjur direkodkan susulan gempa bumi kuat yang melanda Pulau Flores, Indonesia pada awal pagi Sabtu, dengan angka korban meningkat kepada 68 orang dengan 213 lagi cedera.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Suar Pelita Panjaitan berkata aktiviti seismik itu, termasuk satu kejutan lanjur bermagnitud 6.2.
“Tiga lagi gegaran bermagnitud lebih rendah, manakala lebih 1,500 gegaran sama ada dirasai atau tidak dirasai. Kami akan terus mengemas kini angka ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Isnin.
Menurut beliau, pasukan BNPB dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) kekal dalam keadaan siap siaga di tujuh kabupaten yang terjejas
Angka terbaharu itu menunjukkan lebih 500 kejutan lanjur tambahan direkodkan sejak 3 petang waktu tempatan pada Ahad apabila jumlah yang dikesan ketika itu ialah 995, manakala angka korban meningkat daripada 57 orang.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda pada 4.58 pagi waktu tempatan Sabtu, dengan pusat gempa di laut kira-kira 30 kilometer timur laut Mbay di Nagekeo, wilayah Nusa Tenggara Timur. Aktiviti itu mencetuskan amaran tsunami yang ditamatkan pihak berkuasa pada 7.31 pagi selepas pemerhatian paras laut menunjukkan tiada lagi peningkatan ketara.
Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur turut mengisytiharkan tindak balas kecemasan selama 14 hari dari 15 hingga 28 Ogos, manakala langkah kecemasan berasingan turut dilaksanakan di beberapa kabupaten yang terjejas.
Berton berkata setakat Isnin, tiada lagi laporan mengenai penduduk yang hilang di kawasan terjejas, meskipun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan masih dikerahkan dan meneruskan operasi pencarian.
Beliau berkata bekalan elektrik kepada 99.5 peratus daripada 566,797 pelanggan yang terjejas akibat gempa bumi itu telah dipulihkan, dengan 2,732 pelanggan masih memerlukan tindakan lanjut.
Sementara itu, Berton berkata Kementerian Kesihatan telah menempatkan dua hospital medan di Manggarai dan Nagekeo, selain mengerahkan pasukan pengurusan krisis kesihatan dan pasukan perubatan kecemasan ke beberapa kawasan terjejas.
Berton berkata kerajaan turut mengerahkan 10 pesawat bagi memudahkan akses ke lokasi yang sukar dihubungi serta mempercepat pengagihan logistik, dengan lima pesawat ditempatkan di Labuan Bajo di barat Flores dan lima lagi di Maumere di bahagian timur pulau itu. – BERNAMA
















