Foto IG Konsert Radja 25 Tahun.

KUALA LUMPUR – Impian kumpulan popular Indonesia, Radja beraksi di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 19 September depan dibatalkan.

Penganjur, Dhyah Production dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek kendalian teknikal dalaman serta keadaan semasa yang tidak memungkinkan konsert berkenaan diteruskan seperti dirancang.

“Dengan penuh rasa dukacita, pihak penganjur ingin memaklumkan bahawa Konsert RADJA – LOVE & STORY yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur adalah DIBATALKAN.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang mungkin timbul kepada semua peminat, pembeli tiket, rakan strategik serta semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada konsert ini.

“Segala maklumat berkaitan proses pemulangan wang tiket (refund) akan diumumkan melalui saluran rasmi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Radja yang merupakan band terkenal dari Indonesia popular dengan lagu-lagu seperi Angin, Jujur, Cinderella, Call Me dan Takkan Melupakanmu.

Sementara itu, penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses perancangan konsert berkenaan.

Sebelum ini, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai lalu ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu 19 September depan.

Penangguhan itu diumumkan selepas mengambil kira beberapa faktor semasa termasuk lambakan acara hiburan dan konsert berskala besar yang berlangsung dalam tempoh sama, selain situasi Pilihan Raya Negeri (PRN). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here