Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pergulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

JIKA dilihat dari jauh, Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berakhir Ahad lalu mungkin kelihatan seperti kongres parti biasa.

Ada perbahasan, teguran akar umbi, pengakuan kelemahan, janji memperkemas parti dan laungan reformasi.

Namun di sebalik pentas yang tidak banyak menawarkan kejutan besar, Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya menggunakan kongres itu untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih penting.

Menyusun semula barisan hadapan parti selepas kehilangan dua tokoh penting yang sebelum ini menjadi antara watak utama dalam strategi politiknya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Ketiadaan Rafizi selepas meninggalkan jawatan Timbalan Presiden dan perkembangan Nurul Izzah yang tidak lagi memainkan peranan aktif dalam kepimpinan parti buat masa ini menyebabkan struktur kepimpinan Keadilan memasuki fasa baharu.

Dalam keadaan itu, Anwar tidak memilih pendekatan mencari seorang pengganti kepada mana-mana individu sebaliknya, beberapa fungsi strategik diagihkan kepada tokoh berbeza mengikut kekuatan dan peranan masing-masing.

Gelagat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong kek selepas selesai ucapan pergulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diberikan mandat menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Amirudin Shari diangkat sebagai Pengarah Pilihan Raya manakala Datuk Seri Aminuddin Harun diberikan tumpuan kepada latihan dan pengkaderan parti.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula diberikan peranan sebagai Penyelaras di Pejabat Perdana Menteri.

Kedudukannya mungkin tidak begitu menonjol dalam struktur parti tetapi peranan itu memberi gambaran Anwar masih melihat Tengku Zafrul sebagai pemain penting dalam mengurus sebahagian agenda strategik di sekelilingnya.

Namun daripada semua penyusunan itu, peranan Amirudin mungkin paling jelas kaitannya dengan persediaan menghadapi pilihan raya.

Anwar bukan sekadar menyerahkan portfolio Pengarah Pilihan Raya kepada Amirudin tetapi memberi mandat penuh kepada Menteri Besar Selangor itu untuk menentukan strategi dan gerak kerja pilihan raya akan datang.

Malah Anwar menegaskan, tidak boleh lagi wujud sistem atau saluran alternatif yang menyebabkan arahan dan gerak kerja parti berpecah. Semua jentera perlu bergerak melalui satu sistem, satu kepimpinan dan satu format yang ditentukan Amirudin.

Amanat itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pelantikan jawatan. Selepas Keadilan berdepan keputusan kurang memberangsangkan dalam beberapa pilihan raya, Anwar jelas mahu struktur pilihan raya parti mempunyai pusat arahan yang lebih kemas dan tidak bercelaru.

Amirudin kini bukan hanya mengurus kempen apabila pilihan raya tiba tetapi mempunyai tugas menyusun strategi dan gerak kerja lebih awal.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari selepas menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

Dalam masa sama, Datuk Dr Zaliha Mustafa tampil membawa satu mesej yang tidak kurang penting kepada parti, pencapaian kerajaan tidak bermakna jika Keadilan gagal memenangi hati dan rasa rakyat.

Ia bukan sekadar pembahagian jawatan.

Ia memperlihatkan bagaimana Anwar sedang menyusun semula pasukannya dengan fungsi yang lebih khusus. Ada yang menjaga parti, ada yang mengurus pilihan raya, ada yang membina kader, ada yang berperanan dalam pengurusan strategik kerajaan dan ada yang perlu memastikan mesej Keadilan sampai kepada rakyat.

Jika sebelum ini gandingan Anwar, Rafizi dan Nurul Izzah menjadi antara kombinasi penting dalam struktur politik Keadilan, kongres kali ini memperlihatkan Anwar mula bergerak dengan formula yang berbeza.

Rafizi sudah berada di luar parti. Nurul Izzah pula tidak lagi berada di barisan hadapan buat masa ini. Maka Anwar mengisi ruang yang ditinggalkan bukan dengan seorang tokoh sebagai pengganti tetapi dengan beberapa jeneral yang mempunyai medan masing-masing.

Lebih menarik, Anwar tidak membiarkan kekalahan Negeri Sembilan menjadi krisis yang ditanggung oleh seorang individu.

Ketika terdapat desakan supaya kedudukan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Negeri Sembilan dinilai semula, Anwar mengambil pendirian kekalahan itu perlu dipikul secara bersama.

Mesejnya jelas. Selepas beberapa keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada Keadilan, Anwar mahu parti berhenti mencari siapa yang perlu dipersalahkan dan sebaliknya membina semula jentera secara kolektif.

Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Dr Fuziah Salleh pula menyimpulkan semangat itu dengan cukup tepat apabila mengakui parti mungkin kalah dalam beberapa pertempuran tetapi perjuangan belum berakhir.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semangat sahaja tidak mencukupi. Keadilan perlu lebih berdisiplin dan bersungguh-sungguh menterjemahkan idealisme parti kepada kerja.

Itu sebenarnya antara cabaran terbesar Keadilan selepas kongres.

Antara perwakilan yang membaca buku Temu Fikrah pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

Parti itu tidak kekurangan pemimpin atau dasar. Yang menjadi persoalan ialah keupayaan menyatukan semua kekuatan tersebut kepada satu gerak kerja yang benar-benar dirasai di akar umbi.

Anwar sendiri mengakui kelemahan komunikasi dan hakikat pencapaian ekonomi kerajaan tidak semestinya cukup untuk meyakinkan rakyat.

Keadilan perlu memahami apa yang dirasakan rakyat dan memastikan perjuangannya tidak terputus daripada denyut nadi masyarakat.

Ia mungkin antara pengajaran paling besar daripada kongres tersebut.

Keadilan kini bukan lagi parti pembangkang yang hanya perlu memberitahu rakyat apa yang kerajaan gagal lakukan. Ia parti kerajaan yang perlu meyakinkan rakyat apa yang dilakukan benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan mereka.

Sebab itu isu komunikasi menjadi begitu penting.

Parti boleh mempunyai angka ekonomi yang baik, dasar yang besar dan pelbagai pencapaian kerajaan tetapi jika mesej itu tidak sampai atau tidak dirasakan rakyat, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

Kongres kali ini juga memperlihatkan Anwar cuba membuka ruang untuk tokoh dan aktivis lama kembali bersama perjuangan Keadilan. Langkah itu mempunyai makna politik tersendiri.

Anwar sedar menjelang PRU-16, Keadilan memerlukan sebanyak mungkin pengalaman, tenaga, jentera dan kekuatan akar umbi.

Perpecahan dalaman atau kehilangan terlalu ramai pemain lama hanya akan mengecilkan pilihan yang ada kepada parti.

Maka kongres ini mungkin tidak menghasilkan perubahan yang menggemparkan. Tetapi di belakang tabir, Anwar sebenarnya sedang menyusun semula pasukannya. Semua memainkan peranan berbeza, tetapi berada dalam satu pasukan yang sama.

Cuma persoalan yang menarik siapakah kepimpinan lapisan seterusnya yang mampu untuk membantu Keadilan mendepani cabaran politik pada fasa-fasa seterusnya?

Ia turut menjurus kepada keadaan sama ada susunan kepimpinan dan adunan kepimpinan baharu jika ada mampu diterjemahkan kepada kekuatan sebenar sebelum PRU-16.

Kerana selepas kongres, Keadilan tidak lagi mempunyai banyak masa untuk sekadar membincangkan masalah.

Mereka perlu mula menyelesaikannya, harus segera membina semula kekuatan secara keseluruhan, bukan barisan hadapan sahaja.

Jika benar seperti kata Fuziah, mereka mungkin kalah beberapa pertempuran tetapi masih mahu memenangi perang, maka perang sebenar Keadilan selepas ini bukan di dewan kongres tetapi ia di lapangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here