KUALA LUMPUR – Pempengaruh yang juga penyanyi rap, Caprice memberitahu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew.
Menerusi Instagram miliknya, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memuat naik video memberitahu sudah memaklumkan peguamnya untuk merayu keputusan terbabit ke Mahkamah Tinggi.
“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan hari ini.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, dekat Mahkamah Tinggi kita ada peluang yang lebih baik,” katanya.
Walaupun kurang berpuas hati dengan keputusan itu, penyanyi lagu rap Lenglui itu akur dengan keputusan mahkamah dan menghormatinya.
Dia pernah berdepan situasi keputusan tidak memihak kepadanya di Mahkamah Sesyen sebelum memperoleh keputusan berbeza selepas ia dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Caprice dalam video itu turut meminta penyokong mendoakan satu lagi kes yang menurutnya masih berjalan di Tenom, Sabah.
“Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Kami akan merayu. Moga-moga kebenaran akan menang pada akhirnya. Terima kasih atas semua doa dan sokongan anda. Kami akan merayu dan saya akan berjumpa anda di Mahkamah Tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















