Trump kata Israel, Hizbullah setuju tidak saling menyerang
Donald Trump. Photo by AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump pada Isnin mengancam untuk mengebom Oman jika negara itu `menghalang’ perjanjian Amerika Syarikat (AS) dengan Iran mengenai Selat Hormuz, selain menyeru Iran supaya menyerah.

“Jika Oman menghalang, kami akan mengebom mereka habis-habisan,” kata Trump kepada wartawan Fox News, Trey Yingst seperti dilaporkan AFP.

Trump merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung antara Oman dan Iran mengenai kawalan ke atas selat tersebut, ketika Washington turut menjalankan rundingannya sendiri.

Pegawai Iran dan Oman telah mengadakan perbincangan selama beberapa minggu mengenai aturan pelayaran maritim pada masa depan melalui laluan perkapalan itu.

Kementerian Luar Iran pada Isnin berkata, kedua-dua pihak sedang berusaha mencapai satu deklarasi bersama.

Bagaimanapun, Trump berulang kali menegaskan bahawa Selat Hormuz yang secara berkesan ditutup oleh Tehran pada permulaan perang di Asia Barat pada 28 Februari lalu, berada di bawah kawalan AS, walaupun trafik melalui selat itu masih sangat terhad.

Pada Jumaat, Trump mendakwa beliau malah akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada wilayah AS, manakala Iran membalas bahawa laluan laut strategik itu, yang telah disekatnya, “akan kekal milik Iran.”

Sebelum tercetusnya perang AS-Israel terhadap Iran, Selat Hormuz dianggap sebagai laluan perairan terbuka antarabangsa.

Selat itu membawa sebahagian besar penghantaran tenaga global, selain pelbagai komoditi lain.

Tehran menggunakan pengambilalihan kawalan secara berkesan terhadap selat tersebut sebagai alat tekanan terhadap usaha diketuai AS untuk memusnahkan keupayaan ketenteraannya dan memaksanya meninggalkan program tenaga nuklear yang kontroversi.

Pantai Iran menghadap bahagian utara Selat Hormuz, manakala Oman terletak di bahagian selatannya.

Trump turut berkata Iran perlu “mengibarkan bendera putih tanda menyerah kalah,” menurut hantaran Yingst di laman sosial X mengenai wawancaranya dengan presiden itu.

Trump menegaskan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk mencapai sebarang perjanjian, walaupun perang tersebut sangat tidak popular dalam kalangan rakyat AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November ini di AS.

Pembangkang iaitu Parti Demokrat sedang berusaha merampas kawalan Kongres daripada Parti Republikan pimpinan Trump.

Trump memberitahu Yingst bahawa terdapat saluran komunikasi secara langsung antara pentadbirannya dengan pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

“Mereka pemain `poker’ yang baik, tetapi mereka sedang nazak,” katanya, menurut laporan tersebut.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here