KUANTAN – Sepasang suami isteri diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika serbuan pihak polis ke sebuah rumah di Jalan Pintasan Kuantan dekat Kampung Bukit Rangin, di sini kira-kira jam 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, turut dirampas daun ketum, air ketum selain peralatan memproses dan menyimpan air ketum dengan anggaran nilai keseluruhan RM15,745.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 52 tahun itu telah terlibat dengan kegiatan memproses air ketum di tempat tersebut sejak lebih sebulan lalu.
“Suspek lelaki juga menyediakan daun ketum dalam bentuk bungkusan dengan berat sekitar 250 gram yang berharga RM40 bagi setiap bungkusan dan hanya menerima tempahan minimum 1 kilogram (kg) iaitu sekitar empat atau lima bungkus sahaja.
“Manakala, isterinya yang berusia 62 tahun pula ditahan kerana bersubahat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ashari, suspek lelaki turut mengakui menyediakan kira-kira 300 kg daun ketum kepada pelanggannya setiap minggu.
Suspek juga katanya, mengaku memproses semula daun ketum yang dibeli itu menjadi air ketum dan dijual kepada pelanggan di sekitar kawasan Tanah Putih Baru, di sini.
“Kesemua rampasan terdiri daripada 1,150 paket balutan plastik lutsinar dipercayai daun ketum dan tiga tong ais mengandungi keseluruhan 470 bungkusan plastik lutsinar dipercayai air ketum serta dapur dan peralatan memperoses air ketum,” katanya.
Ashari berkata, kedua-dua pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette
















