KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan mangumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang sudah berusia lebih lima dekad sedangkan kerangka baharu tadbir urus universiti awam belum diperincikan kepada rakyat.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, dasar pendidikan tinggi negara tidak seharusnya dibuat dengan pendekatan “umum dahulu, fikir kemudian” kerana reformasi yang bertanggungjawab memerlukan kajian, konsultasi, pelan peralihan dan mekanisme tadbir urus yang diketahui sebelum sistem sedia ada dibongkar.
Apatah lagi, kini mahasiswa sudah menuntut garis masa, proses perundangan dan kerangka pasca-AUKU yang jelas.
Lebih mengelirukan lagi, katanya, apabila perdana menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan undang-undang baharu yang menyekat atau menekan gerakan mahasiswa selepas AUKU dimansuhkan.
Jelas beliau, prinsip kebebasan mahasiswa itu wajar disokong namun kebebasan mahasiswa dan keperluan mempunyai kerangka undang-undang bagi mentadbir universiti adalah dua perkara berbeza.
Tambah Armin, universiti tetap memerlukan struktur kuasa, tatakelola kewangan, mekanisme akauntabiliti, disiplin yang adil serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara kerajaan, lembaga universiti, senat, pentadbiran, akademik dan mahasiswa.
Lantaran itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan apakah bentuk sebenar tadbir urus universiti awam selepas AUKU dimansuhkan memandangkan akta itu bukan sekadar menyentuh kegiatan dan kebebasan mahasiswa, tetapi turut menyediakan sebahagian penting kerangka perundangan bagi pentadbiran universiti.
Ia termasuk struktur Lembaga Pengarah Universiti, kedudukan dan kuasa Senat, kepimpinan universiti serta hubungan kuasa antara universiti dengan kerajaan.
“Siapakah yang akan melantik Naib Canselor?. Bagaimanakah pula Lembaga Pengarah Universiti akan dibentuk? Apakah kedudukan dan kuasa Senat?
“Sejauh manakah kuasa Menteri Pendidikan Tinggi terhadap universiti akan dikekalkan atau dikurangkan? Dan apakah mekanisme baharu yang akan memastikan autonomi universiti disertai akauntabiliti serta semak dan imbang yang berkesan?
“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab sebelum kerajaan meminta rakyat menerima bahawa pemansuhan AUKU dengan sendirinya merupakan suatu reformasi menyeluruh,” hujah beliau lagi.
Malah, katanya, suara mahasiswa sendiri menunjukkan bahawa mereka tidak mahu pemansuhan AUKU dianggap sebagai hadiah politik daripada mana-mana kerajaan.
UMANY menyifatkannya sebagai hasil perjuangan panjang gerakan mahasiswa dan menuntut supaya mahasiswa, ahli akademik, kakitangan universiti serta masyarakat sivil diberikan penglibatan bermakna dalam menentukan sistem baharu.
Manakala Sekretariat Mansuh AUKU turut meminta garis masa yang jelas dan kerangka pasca-AUKU.
Jadi, kata Armin, Kerajaan Madani harus menghormati tuntutan ini dan kebebasan mahasiswa tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang “diberikan” oleh seorang perdana menteri kerana apa yang diberikan oleh kerajaan hari ini boleh ditarik semula oleh kerajaan yang lain pada masa hadapan.
“Sebab itu reformasi sebenar mestilah lebih besar daripada pemansuhan AUKU. Jika kerajaan benar-benar percaya kepada kebebasan akademik, maka bebaskan juga universiti daripada campur tangan politik kerajaan. Proses pelantikan Naib Canselor dan kepimpinan universiti perlu telus, berasaskan merit dan dilindungi daripada kepentingan politik.
“Ahli akademik perlu bebas menjalankan penyelidikan dan mengemukakan pandangan ilmiah tanpa takut terhadap tekanan pentadbiran atau politik. Mahasiswa pula perlu diberikan ruang berorganisasi dan berbahas secara matang selagi tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.
Menurut Armin, autonomi tidak bermaksud universiti boleh beroperasi tanpa akauntabiliti.
“Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis sendiri mengingatkan bahawa autonomi mahasiswa perlu datang bersama checks and balances, dan kerangka selepas AUKU perlu memperincikan autonomi universiti, kebebasan akademik serta tadbir urus dengan jelas.
“Ini menunjukkan bahawa persoalan mengenai struktur selepas AUKU bukanlah serangan politik pembangkang terhadap kerajaan. Ia adalah persoalan dasar yang sah dan sedang dibangkitkan oleh masyarakat universiti sendiri,” tambah beliau.
Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya membentangkan Kertas Putih Reformasi Pendidikan Tinggi Pasca-AUKU sebelum pemansuhan dilaksanakan sepenuhnya.
Kertas Putih itu pula hendaklah memperincikan model tadbir urus universiti, kebebasan akademik, hak mahasiswa, kaedah pelantikan kepimpinan universiti, autonomi kewangan, akauntabiliti terhadap dana awam dan mekanisme semak dan imbang.
Ia juga perlu melalui konsultasi terbuka dengan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, alumni, pakar perlembagaan dan masyarakat sivil sebelum dibawa ke Parlimen.
“Reformasi yang baik bukan sekadar berani meruntuhkan sistem lama, tetapi mampu menunjukkan dengan jelas sistem yang lebih baik untuk menggantikannya,” ujar beliau.
Armin turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan pemansuhan AUKU sebagai satu lagi slogan Reformasi untuk mendapatkan tepukan politik memandangkan AUKU telah lama menjadi isu perjuangan mahasiswa dan janji politik pelbagai pihak.
Kini apabila kerajaan mempunyai kuasa untuk melaksanakannya, ukurannya bukan lagi pada keberanian membuat pengumuman tetapi pada keberanian menyerahkan sebahagian kuasa kerajaan kepada institusi universiti.
Hujah beliau, jika menteri masih mempunyai pengaruh besar terhadap kepimpinan universiti, jika ahli akademik masih takut bersuara dan jika mahasiswa masih boleh ditekan melalui mekanisme lain, maka pemansuhan AUKU hanya mengubah bentuk tanpa mengubah budaya.
“Oleh itu, saya tidak mempertahankan AUKU semata-mata kerana Kerajaan Madani mahu memansuhkannya. Tetapi saya juga tidak akan memberikan cek kosong kepada kerajaan atas nama reformasi.
“Kalau benar mahu memansuhkan AUKU, mansuhkan juga budaya campur tangan politik dalam universiti. Berikan kebebasan mahasiswa, lindungi kebebasan akademik dan bina autonomi universiti yang mempunyai semak dan imbang serta akauntabiliti yang kukuh.
“Persoalan sebenar bukan lagi sama ada AUKU perlu dimansuhkan. Persoalannya ialah: selepas AUKU dimansuhkan, adakah universiti kita benar-benar akan menjadi lebih bebas, atau hanya nama aktanya yang hilang sedangkan kuasa politik terhadap universiti kekal seperti dahulu?,” katanya. – MalaysiaGazette
















