KUALA LUMPUR – Pelari muda pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya melengkapkan hatrik emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila dia meraih emas dalam acara 200 meter (m) hari ini.
Dalam aksi di Stadium UPM Serdang itu, atlet Johor berusia 19 tahun yang juga pemegang rekod kebangsaan 200m itu turut memecah rekod kejohanan dengan catatan 20.85 saat mengatasi masa 21.01 saat yang dicatat Mohd Aqil Yasmin dari Selangor pada edisi 2018.
Mohd Umaira Subri dari Kedah pula memenangi pingat perak dengan catatan masa 21.23 saat manakala rakan sepasukan Danish, Mohd Airiel Iskandar meraih pingat gangsa dengan catatan 21.35 saat.
Danish merupakan pemegang rekod kebangsaan semasa bagi acara 200 meter dengan catatan masa 20.73 saat yang dilakukannya pada Sukan SEA di Bangkok tahun lalu.
Dia sebelum ini menjadi tumpuan utama olahraga selepas mengungguli saingan 100m lelaki sebelum membantu kuartet 4x100m negeri itu meraih emas serta memperbaharui rekod temasya semalam. – MalaysiaGazette
















