Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar

ALOR GAJAH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima direman dua hari selepas disyaki membelasah bertubi-tubi juniornya dalam kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang, di sini, Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah sehingga esok, selepas suspek turut disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa apabila memaksanya menjadi ‘balacinya’ sekiranya mahu dimaafkan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi 14 Ogos lalu ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di kelas sementara rakan-rakan lain keluar berehat sebelum didatangi suspek.

“Siasatan awal mendapati sebelum itu berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya menerusi aplikasi WhatsApp apabila mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

“Suspek kemudian dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati kepada mangsa, sebelum suspek bertindak menumbuknya bertubi-tubi menggunakan tangan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa cuba melindungi diri, namun suspek didakwa terus menendangnya beberapa kali sehingga terkena muka, kepala, perut dan kemaluan.

Tambah Ahmad, mangsa yang ketakutan cuba berdamai dengan meminta maaf, tetapi suspek terus menumbuk mangsa sebelum beredar sambil didakwa memberi amaran akan memukulnya lagi selepas ini.

“Tidak lama selepas itu, suspek dikatakan memanggil mangsa yang ketika itu sedang menahan sakit sambil memberitahu perlu menjadi ‘balacinya’ sekiranya mahu berdamai dan tidak mahu dipukul lagi.

“Pelajar senior itu kemudian menghulurkan wang kepada mangsa dan mengarahkannya membeli minuman menyebabkan mangsa menurutinya kerana ketakutan,” tambahnya.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada guru sekolah pada hari yang sama.

Ahmad berkata, ketika pulang ke rumah mangsa mendakwa kesakitan dihadapinya bertambah serius selain mengalami pedih pada saluran kencing ketika membuang air kecil.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat tetapi dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan selama sehari untuk pemeriksaan lanjut.

“Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis, sekali gus membawa kepada penahanan reman suspek selama dua hari bermula hari ini sehingga 19 Ogos (esok),” katanya.

Tambahnya sebelum ditahan, suspek turut didakwa mengganggu ibu bapa dan abang kandung mangsa menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan dia tidak takut dengan laporan polis yang dibuat itu kononnya mempunyai ‘kabel polis’.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul sehingga mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here