MGTC memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran hijau melalui Garis Panduan Pekerjaan Hijau.

KITA adalah generasi pertama yang merasakan impak perubahan iklim, dan generasi terakhir yang boleh melakukan sesuatu mengenainya.” Petikan kata-kata daripada Barack Obama menggambarkan hakikat krisis alam sekitar yang sedang kita hadapi hari ini.

Ungkapan tersebut amat selari dengan realiti serta aspirasi yang diluahkan oleh generasi muda di Malaysia. Mereka tidak lagi bersikap tunggu dan lihat, sebaliknya bersuara menuntut kelestarian demi masa depan yang terjamin.

Dapatan daripada National Youth Climate Change Survey 2025, kajian oleh UNICEF Malaysia melibatkan 1,420 belia, menunjukkan bahawa 96.6 peratus anak muda menegaskan perubahan iklim ialah satu krisis yang nyata.

Malah, 83.1 peratus belia kini memahami konsep perubahan iklim, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding kajian terdahulu pada tahun 2020.

Peningkatan kesedaran ini hadir berserta keresahan mendalam, di mana 94.3 peratus belia bimbang akan impak jangka panjang terhadap masa depan mereka, terutamanya mengenai ketidaktentuan masa depan, ketakutan terhadap kehilangan kepelbagaian biologi serta ancaman kepada keselamatan keluarga dan komuniti.

Keresahan ini berpunca daripada pengalaman sebenar di lapangan, di mana 83.2 peratus anak muda dilaporkan pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bencana alam dalam tempoh 12 bulan lalu, seperti gelombang panas di Perlis atau banjir berulang di Terengganu dan Kelantan.

Menariknya, kebimbangan dan kesedaran tinggi ini tidak mematahkan semangat belia kita, sebaliknya diterjemahkan kepada kesediaan bertindak apabila 83.1 peratus daripada mereka menyatakan minat mendalam untuk berkhidmat secara langsung dalam industri hijau.

Kesediaan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian bertaut rapat dengan transformasi ekonomi negara yang kini giat membuka ruang kerjaya hijau.

Menerusi pelaburan hijau bernilai RM7.9 bilion pada tahun 2024 dan sasaran mewujudkan 310,000 pekerjaan hijau menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), aspirasi belia ini dapat disalurkan secara produktif.

Di sinilah Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), iaitu agensi di bawah kementerian saya, memainkan peranan sebagai penggerak utama ekosistem teknologi dan kerjaya hijau negara.

MGTC memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran hijau melalui Garis Panduan Pekerjaan Hijau yang dilancarkan pada tahun 2025, hasil kerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi merangka strategi komprehensif untuk merapatkan jurang tenaga kerja hijau.

Agensi ini juga menggerakkan penganjuran International Greentech & Eco Products Exhibition (IGEM) yang berjaya menjana pelaburan hijau melebihi RM10 bilion di samping melaksanakan dan menyokong pelbagai inisiatif pembiayaan teknologi hijau seperti Green Technology Financing Scheme (GTFS), serta menguruskan MyHIJAU Mark dan MyHIJAU Directory bagi menyokong pertumbuhan industri hijau dan memperluas penggunaan produk serta perkhidmatan hijau.

Kajian oleh UNICEF Malaysia melibatkan 1,420 belia menunjukkan bahawa 96.6 peratus anak muda menegaskan perubahan iklim ialah satu krisis yang nyata.

Peluang kerjaya yang diperkasa melalui ekosistem yang dibangunkan dan disokong oleh MGTC ini merangkumi pelbagai sektor strategik seperti sektor tenaga boleh baharu, termasuk pengurusan projek tenaga boleh baharu, kejuruteraan dan penyelenggaraan teknologi tenaga bersih.

Selain itu, pengauditan tenaga serta Life Cycle Assessment (LCA); sektor kewangan lestari dan ESG yang menyediakan peluang dalam bidang seperti analisis pelaburan lestari, kewangan hijau, pelaporan ESG, perundingan kelestarian korporat serta pengurusan karbon dan pasaran karbon.

Tidak terkecuali sektor pengurusan sisa dan ekonomi pekeliling menerusi bidang seperti Waste-to-Energy, pengurusan rantaian bekalan hijau, reka bentuk bangunan lestari serta pertanian dan perhutanan lestari.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan potensi penuh ini, wujud cabaran jurang kemahiran yang kritikal di mana permintaan bakat hijau mencecah 11.6 peratus berbanding bekalan semasa yang hanya berada pada tahap 5.6 peratus.

Selain itu, belia turut berdepan pelbagai kekangan struktural seperti peluang pekerjaan yang terhad, jurang latihan dan kemahiran serta ketidakselarasan kurikulum pendidikan dan TVET sedia ada dengan keperluan industri hijau semasa.

Mendepani cabaran ini, kerajaan mengambil inisiatif melalui peruntukan RM3 bilion bersama TalentCorp, HRD Corp, dan PERKESO untuk merangka program latihan upskilling, reskilling, dan cross-skilling dalam bidang pengurusan tenaga dan ekonomi pekeliling.

Usaha penyesuaian dasar ini diperkukuh melalui kerangka polisi rentas kementerian yang melibatkan MGTC, KESUMA, HRD Corp dan PERKESO bagi merangka garis panduan dari peringkat graduan baharu hingga pekerja berpengalaman.

Langkah ini turut disokong oleh Skim Perantisan Belia bersama syarikat utama seperti Gentari dan Solarvest, serta integrasi kemahiran hijau menerusi platform MyMahir.

Usaha ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk tidak sekadar mendengar keresahan iklim anak muda, malah menterjemahkannya kepada tindakan nyata menerusi pembangunan ekonomi hijau yang mampan.

Dengan memadankan kesedaran iklim belia dan penyediaan kerjaya bernilai tinggi, kita bukan sahaja membendung krisis alam sekitar tetapi juga membina generasi peneraju yang bakal memacu kelestarian negara. – MalaysiaGazette

Oleh Datuk Seri Arthur Joseph Kurup           

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here