Mas Fawzi dan peserta Program Must Move Merdeka Bersama Komuniti menyemarak Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 di UTHM dan berakhir di Taman Universiti, Batu Pahat

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini menerusi Program Must Move Merdeka Bersama Komuniti bagi mendampingi masyarakat sertai menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan ke-69.

Program berkenaan membawa warga universiti dan komuniti setempat bersama-sama menghayati erti semangat patriotisme yang tidak seharusnya terhenti dalam lingkungan kampus.

Sebaliknya perlu dikongsi bersama-sama masyarakat yang sentiasa dekat dengan denyut nadi universiti serta bersama-sama menghayati erti kemerdekaan menerusi aktiviti kecergasan, kebersamaan dan jalinan persaudaraan

Program yang berlangsung di Dataran Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk UTHM dan berakhir di Dewan Terbuka, Taman Universiti di sini dianjurkan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) serta Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).

Penglibatan warga kampus dan komuniti setempat dalam program tersebut memperlihatkan komitmen UTHM untuk terus mendekati masyarakat yang menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti, khususnya komuniti di sekitar Parit Raja.

Ini kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan UTHM daripada aspek sosial, pendidikan dan kemasyarakatan.

Program dimulakan dengan sesi regangan dan senamrobik sebelum peserta menyertai aktiviti Brisk Walk bersama-sama Naib Canselor UTHM, Prof Ts D Mas Fawzi Mohd Ali sebagai usaha menyemarakkan budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga universiti serta komuniti.

Mas Fawzi dalam ucapannya berkata, program seumpama itu mungkin kelihatan sederhana, namun membawa mesej besar tentang kepentingan menjaga kesihatan diri sebagai asas kepada kesejahteraan dan prestasi kerja.

Mas Fawzi menyerahkan bendera kepada wakil pemimpin komuniti, Zamri Musa yang menjadi simbolik kepada penyaluran semangat kemerdekaan daripada universiti kepada masyarakat setempat dalam program UTHM

“Program seperti ini mungkin kelihatan ringkas, kita berkumpul, bergerak, berjalan, bersenam dan bertegur sapa sesama kita.

“Namun, di sebalik aktiviti ini terdapat satu mesej yang sangat besar, iaitu kepentingan menjaga kesihatan. Dalam kita menjaga prestasi dan kualiti kerja, jangan sesekali lupa, kita juga perlu menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.

Menurut beliau, aktiviti kecergasan perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kehidupan dan budaya kerja warga UTHM, bukan sekadar program yang disertai secara bermusim.

“Kerana itulah, saya ingin mengajak seluruh warga UTHM untuk menjadikan aktiviti kecergasan ini bukan sebagai aktiviti bermusim atau sekadar program yang perlu disertai sahaja tetapi sebagai sebahagian daripada budaya hidup dan budaya kerja kita,” katanya.

Dalam konteks penglibatan komuniti pula, beliau menegaskan, bahawa semangat kemerdekaan perlu diraikan secara bersama-sama kerana universiti tidak pernah terpisah daripada masyarakat di sekelilingnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli dalam ucapan perasmiannya berkata, penglibatan komuniti dalam sambutan bulan kebangsaan memberikan makna yang lebih besar kerana semangat patriotisme dapat dirasai dan diraikan merentasi sempadan institusi.

Mas Fawzi yang mengetuai Program Must Move Merdeka Bersama Komuniti memaklumkan program itu membawa warga universiti dan komuniti setempat bersama-sama menghayati erti semangat patriotisme

“Semangat kemerdekaan bukan hanya tentang mengenang sejarah perjuangan terdahulu tetapi bagaimana kita sebagai generasi hari ini mengisi kemerdekaan dengan perkara yang bermanfaat.

“Aktiviti sihat seperti ini dapat membentuk masyarakat yang lebih cergas, positif dan bersatu padu,” katanya.

Menurut beliau, hubungan erat antara UTHM dengan komuniti Parit Raja perlu terus diperkukuh kerana universiti dan masyarakat setempat merupakan sebahagian daripada ekosistem yang saling melengkapi.

Ujarnya, program seperti itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk masyarakat melakukan aktiviti sihat malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan, menyemai semangat patriotisme dan membina rasa kebersamaan antara warga universiti dengan komuniti.

Kemuncak program menyaksikan penyerahan bendera Malaysia daripada Naib Canselor UTHM kepada wakil pemimpin komuniti, Zamri Musa yang menjadi simbolik kepada penyaluran semangat kemerdekaan daripada universiti kepada masyarakat setempat.

Penyerahan bendera tersebut bukan sekadar simbolik sebuah acara, tetapi membawa mesej bahawa semangat kemerdekaan adalah milik bersama dan perlu terus disemarakkan dalam setiap lapisan masyarakat.

Ini turut menggambarkan iltizam UTHM untuk menjadi universiti yang bukan sahaja membangunkan ilmu, teknologi dan bakat, tetapi turut hadir bersama komuniti, berkongsi aspirasi dan membina kesejahteraan secara bersama-sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here