KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya bagi menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan tiga beranak dirempuh sebuah lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban yang mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Saya mengesahkan kes tersebut. JIM memberi kerjasama penuh dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, Zakaria berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan Jabatan bagi memastikan perkara ini diteliti secara menyeluruh.
Tegasnya, JIM memandang serius kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman Jabatan.
“Jabatan sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat kejadian ini,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk membantu siasatan pihak berkuasa.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, tiga beranak termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dirempuh sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM Kuala Lumpur, dua kereta dan empat pejalan kaki.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa yang maut di lokasi kejadian terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya, masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kemalangan melibatkan lori Isuzu Black Maria tanpa muatan, dua kereta dan empat pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) selepas operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dijalankan di kawasan berkenaan.
“Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Pemandu Proton Saga itu dipercayai tidak sempat mengelak sebelum kenderaannya bertembung dengan lori tersebut di tengah persimpangan” ujarnya.
Tambah beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Akibat insiden itu, isteri kepada mangsa lelaki berkenaan, berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan lanjut.
Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette














