KUANTAN – Kerajaan negeri berjaya menoktahkan statistik Miskin Tegar pada 19 Februari lalu selepas kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari 2026 berjaya dikeluarkan daripada status berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak menerusi pendekatan membasmi kemiskinan yang menyeluruh, bersasar dan berterusan.
“Lebih membanggakan, Pahang turut berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus Miskin pada 5 Jun 2026 telah berjaya dikeluarkan daripada kelompok tersebut.
“Pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai, sebaliknya ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata, kategori Miskin Tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar.
Manakala kategori Miskin pula merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar.
Beliau berkata, penentuan status berkenaan adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.
Namun, katanya, data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah di mana perubahan pendapatan serta saiz isi rumah turut menyumbang kepada perubahan status kemiskinan.
“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap keluarga yang masih berada dalam kategori Miskin dan Miskin Tegar dalam senarai eKasih terus dibantu mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, matlamat kerajaan bukan sekadar mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh serta menikmati kehidupan lebih sejahtera.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pendekatan memangkas kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette
















