KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini mengumumkan pelantikan Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan (GMD), berkuat kuasa 18 Ogos 2026.
Sejak Mac lalu, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah (BEC), iaitu sebuah jawatankuasa yang mengambil alih fungsi dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, selain menyediakan kepimpinan eksekutif serta menyelia operasi, keutamaan strategik dan inisiatif transformasi utama kepada syarikat.
Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pelantikan Nurul Muhaniza sebagai wanita pertama menerajui FGV merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah Kumpulan.
Katanya, ia mencerminkan komitmen Lembaga Pengarah untuk mengiktiraf kepimpinan berdasarkan merit dan keupayaan, di samping menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman yang lebih besar.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau ketika FGV meneruskan agenda transformasi, memperkukuh kecemerlangan operasi serta menerapkan pertimbangan kelestarian dan ESG dalam strategi perniagaan dan proses membuat keputusan.
“Tidak kurang penting ialah usaha berterusan untuk memperkukuh tadbir urus, kebertanggungjawaban dan integriti di setiap peringkat Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nurul Muhaniza yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya dilantik ke Lembaga Pengarah FGV pada 1 April 2024 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif,
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko Lembaga Pengarah, selain menjadi anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Saraan Lembaga Pengarah serta Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan termasuk berkhidmat sebagai anggota terpilih Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, memegang beberapa jawatan penting dalam Badan Peguam Selangor serta berkhidmat sebagai Presiden Tribunal Pengurusan Strata di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 hingga 2018.
Beliau kini merupakan Pengarah MSM Malaysia Holdings Berhad, selain menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Tender serta anggota Jawatankuasa Audit, Tadbir Urus dan Risiko dan Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Pengarah.
Beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi FGV IFFCO Sdn Bhd, Pengarah Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan Nilai Education Sdn Bhd, serta anggota Lembaga Gabenor Universiti Nilai.
Pengalaman kerjaya beliau dalam bidang guaman, institusi awam dan sektor korporat memberikan pengalaman luas dalam hal ehwal perundangan dan kawal selia, tadbir urus korporat, kepimpinan organisasi serta penglibatan dengan pihak berkepentingan, termasuk memberi nasihat kepada lembaga pengarah, syarikat dan institusi mengenai tadbir urus, strategi serta perkara komersial yang kompleks.
Dalam pada itu, Nurul Muhaniza komited untuk menerajui FGV ke fasa transformasi seterusnya, berteraskan integrasi yang lebih erat dengan FELDA, prestasi operasi yang lebih kukuh serta penciptaan nilai mampan dalam ekosistem Kumpulan FELDA secara keseluruhan. -MalaysiaGazette
















