Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) tanpa syarat dengan Ageas Insurance International NV yang berpangkalan di Belgium untuk mengambil alih baki 30.95 peratus kepentingan ekuiti dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (MAHB) dengan nilai RM4.83 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank berkata perjanjian itu melibatkan pengambilalihan 78 juta saham MAHB daripada Ageas.

Kumpulan perbankan itu berkata SPA berkenaan ditandatangani hari ini selepas menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Sept 2026, manakala balasan pembelian akan dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman.

Maybank berkata cadangan pengambilalihan itu bertujuan membolehkannya memiliki MAHB sepenuhnya serta memberikan kumpulan itu fleksibiliti strategik yang lebih besar.

“Pengambilalihan itu juga bertujuan mengukuhkan kedudukan MAHB sebagai pemain insurans dan takaful nasional, menyokong pengembangan di seluruh Asia Tenggara, meningkatkan nilai jangka panjang yang mampan dan berdaya tahan bagi kumpulan Maybank, serta meningkatkan kecekapan pengurusan modal merentasi francais insurans dan takafulnya.

“Pemilikan penuh MAHB dijangka memberikan Maybank dan MAHB ketangkasan strategik yang lebih besar untuk mempercepat inovasi produk, memperluas penembusan bancassurance, mengembangkan penawaran takaful serta meningkatkan kecekapan modal dan operasi merentasi francais insurans dan takaful,” katanya.

Maybank berkata, sekiranya tiada keadaan tidak diduga, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada 11 Sept 2026.

Maybank Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, manakala Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte dilantik sebagai penasihat kewangan antarabangsanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here