Gambar hiasan

KITA hidup dalam dunia yang semakin mudah menghubungkan manusia dengan apa sahaja yang mereka ingin lihat, dengar dan terokai. Dengan sebuah telefon pintar, kita boleh meneroka dunia hiburan, pendidikan, pekerjaan dan jaringan sosial dalam beberapa saat. Namun, di sebalik kemudahan itu, wujud satu sisi yang jarang dibicarakan secara terbuka iaitu dark side dunia digital.

Antara yang semakin mendapat perhatian ialah kewujudan platform dan ruang digital yang menawarkan kandungan seksual secara mudah, bersifat peribadi dan tanpa sempadan. Realitinya, kewujudan ruang dark side tidak asing lagi untuk generasi hari ini. Persoalan yang lebih besar ialah mampukah kita menolak tarikannya, apabila akses hanya dengan satu klik di hadapan mata?

Persoalan ini sebenarnya bukan suatu yang baharu. Al-Quran telah memberikan panduan yang sangat jelas tentang pengawalan pandangan melalui surah An-Nur, ayat 30, yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” Dalam konteks dunia digital hari ini, ayat ini sangat signifikan. Menundukkan pandangan tidak lagi hanya berkaitan dengan apa yang kita lihat di hadapan mata, tetapi juga apa yang kita pilih untuk buka, tonton, ikuti dan ulangi pada skrin.

Apabila akses menjadi terlalu mudah

Dahulu, akses kepada kandungan tertentu yang berisiko atau tidak sesuai tidak semudah hari ini. Carian terhadap pornografi, perjudian dalam talian dan kandungan terlarang lazimnya berdepan dengan pelbagai bentuk sekatan dan penapisan digital. Mekanisme seperti web filtering, content filtering, SafeSearch dan sekatan berasaskan domain digunakan dalam sesetengah persekitaran untuk mengehadkan capaian kepada laman atau kandungan yang tidak sesuai. Hari ini, apabila telefon pintar sudah berada di tangan, sebahagian besar halangan itu semakin berkurangan. Kandungan boleh dicapai secara peribadi, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Malah, pengguna tidak lagi perlu mencari mencari secara fizikal kerana segala-galanya boleh dicapai terus melalui skrin.

Namun, kemudahan akses bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan kandungan seksual begitu menarik. Ada satu sifat alami manusia yang sukar dinafikan iaitu rasa ingin tahu. Sesuatu yang dianggap sensitif, terlarang atau tabu, boleh menjadi lebih menarik apabila ia mudah dicapai tetapi jarang dibincangkan secara terbuka. Ditambah pula dengan akses yang boleh dilakukan secara senyap dan peribadi, benteng sosial yang wujud dalam kehidupan sebenar menjadi semakin nipis. Di sinilah berlaku pertembungan antara fitrah manusia, teknologi dan pilihan diri. Teknologi memberikan akses tetapi manusialah yang membuat pilihan.

Daripada ingin tahu kepada kebiasaan

Ada yang beranggapan bahawa masalah hanya berlaku apabila seseorang kerap mengakses kandungan seksual. Namun, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu tingkah laku boleh berubah daripada rasa ingin tahu (curiosity) kepada tabiat (habit). Rasa ingin tahu yang pada awalnya kecil boleh menjadi rutin dan rutin pula pula boleh berubah menjadi kebiasaan. Lebih membimbangkan apabila kandungan yang dahulunya dianggap ekstrem atau tidak sesuai mula ‘kelihatan biasa’ kerana sering muncul berulang kali dalam persekitaran digital. Proses ini sering disebut normalisasi.

Dalam memperkasakan literasi digital kepada kalangan masyarakat, kita sering membincangkan tentang keselamatan dan penggunaan teknologi digital secara berkesan. Masyarakat dididik untuk tahu membezakan antara maklumat benar dan palsu. Kita mahukan masyarakat cakna tentang privasi, keselamatan siber serta penipuan dalam talian.

Tetapi dalam menghadapi dark side digital, mungkin literasi sahaja tidak mencukupi. Seseorang mungkin tahu bahawa sesuatu kandungan tidak baik untuk dirinya, tetapi masih memilih untuk melihatnya. Seseorang mungkin tahu tentang risiko ketagihan, tetapi masih mengulanginya. Seseorang mungkin tahu bahawa platform ini boleh dieksploitasi oleh pengguna lain, tetapi masih terus kembali kepadanya.

Maka, literasi digital yang dikuasai oleh masyarakat, perlu juga ada daya tahan digital.

Tahap literasi boleh diukur mengikut tahap pengetahuan. Tahap daya tahan pula, dilihat melalui kekuatan pengguna menahan diri untuk berhenti. Perbezaannya nampak kecil, tetapi kesannya besar.

Masyarakat berdaya tahan digital

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Isra’, ayat 32, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Ayat ini sangat relevan dalam konteks pengawalan diri. Pada zaman sekarang, generasi muda mudah terdedah kepada kandungan seksual. Bahkan, kita juga tidak boleh menganggap bahawa larangan semata-mata akan menyelesaikan masalah. Realitinya, kandungan tersebut kini boleh dicapai hanya dengan satu sentuhan pada skrin.

Bayangkan jika generasi yang ingin kita bina ialah generasi yang mampu berkata “tidak” kepada kandungan yang boleh mendorong kepada kemungkaran. Tidak cukup dengan nasihat, generasi kita perlu keupayaan mengawal diri, pemikiran kritikal, kesedaran tentang manipulasi digital dan keberanian untuk meninggalkan sesuatu yang didorong oleh tarikan nafsu.

Mampukah kita menolak?

Ekosistem digital kini banyak dipacu oleh konsep attention economy, yang menjadikan perhatian pengguna sebagai suatu yang mempunyai nilai komoditi tinggi. Lebih lama seseorang berada dalam sesuatu platform, lebih banyak peluang wujud untuk interaksi, langganan, pembelian atau pengiklanan. Pada masa yang sama, keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat perlu menyediakan ruang perbincangan yang matang di samping kempen kesedaran yang berterusan.

Dark side digital tidak akan hilang walaupun ia tidak lagi diperbincangkan. Namun, kita boleh membina masyarakat yang celik mengenali terhadap tarikannya, kritikal dalam mempersoalkannya dan kuat untuk mengawal pilihan sendiri. Begitulah cabaran dunia digital hari ini yang bukan lagi tentang apa yang boleh kita capai, tetapi tentang kemampuan untuk menahan diri daripada mencapainya walaupun hanya satu klik di hadapan mata. Pada saat tiada siapa melihat, kita tetap memilih untuk menolak kemungkaran.

Oleh Dr Hayati Abd Rahman,

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik

Pejabat Komunikasi Strategik, UiTM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here