CADANGAN memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bukan sekadar isu perundangan, tetapi merupakan ujian besar terhadap keberanian negara mentransformasikan budaya pengurusan pendidikan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan cadangan pemansuhan AUKU akan dibawa ke Kabinet manakala Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka kerangka perundangan baharu melalui agenda One Higher Education Act.
Selepas lebih lima dekad, persoalan paling kritikal bukan lagi sama ada AUKU perlu dikekalkan atau dimansuhkan. Persoalannya ialah apakah bentuk universiti yang mahu dibina selepas AUKU?
AUKU pada asalnya merupakan undang-undang untuk mengatur penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti. Namun, sepanjang sejarahnya, akta ini sering dikaitkan dengan persoalan kebebasan akademik, keterlibatan mahasiswa dan autonomi universiti.
Peruntukan berkaitan penglibatan mahasiswa dalam politik khususnya pernah menjadi antara isu dasar pertikaian paling besar dalam politik tanah air. Pindaan yang dilakukan sebelum ini memang telah mengubah landskap pemakaian akta ini.
Pindaan 2019 misalnya, menghapuskan larangan tertentu terhadap penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di kampus. Namun, hakikat bahawa AUKU masih menjadi simbol kontroversi menunjukkan masalahnya mungkin lebih besar daripada satu atau dua seksyen undang-undang yang harus diperhalusi.

Masalah sebenar ialah budaya kawal selia terhadap universiti. Universiti sepatutnya menjadi ruang paling subur untuk perbezaan pandangan, perdebatan intelektual dan pengujian idea.
Jika mahasiswa hanya diajar menerima pandangan tanpa mencabar, mereka mungkin menjadi graduan yang baik dalam peperiksaan tetapi kurang bersedia menghadapi realiti demokrasi dan masyarakat.
Jelas beberapa pindaan dalam akta ini membuka ruang seluasnya kepada golongan mahasiswa untuk meneroka bakat kepimpinan, keterlibatan dalam politik tanah air dan menyuburkan idealisme mahasiswa menjadi komponen “semak dan imbang” kepada dasar–dasar kerajaan supaya dapat melestasikan keadilan dan kesejahteraan rakyat negara ini.
Justeru, pemansuhan AUKU mempunyai nilai simbolik yang besar. Ia boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan bahawa mahasiswa telah matang dan universiti perlu bergerak daripada paradigma kawalan kepada paradigma autonomi dan akauntabiliti.
Namun, di sinilah kerajaan perlu berhati-hati. Memansuhkan AUKU tidak boleh bermaksud membuang satu akta tanpa membina sistem yang lebih baik.
AUKU bukan sekadar undang-undang mengenai mahasiswa. Ia turut membentuk kerangka tadbir urus universiti. Jika akta tersebut dimansuhkan, persoalan besar perlu dijawab.
Siapakah yang mempunyai kuasa melantik kepimpinan universiti? Sejauh mana autonomi lembaga universiti? Bagaimana akauntabiliti kewangan ditentukan? Apakah sempadan kuasa menteri? Bagaimana kebebasan akademik dilindungi? Dan apakah mekanisme semak dan imbang yang akan menggantikannya?
KPT sendiri menyedari bahawa pemansuhan AUKU perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang menyeluruh, termasuk aspek autonomi institusi, tadbir urus, kepimpinan universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa.
Ini bermakna pemansuhan AUKU hanyalah permulaan, bukannya destinasi akhir.
Lebih penting, akta baharu tidak boleh menjadi “AUKU versi baharu” dengan nama berbeza tetapi falsafah lama. Jika kuasa kerajaan terhadap universiti masih terlalu dominan, pemansuhan AUKU hanya menghasilkan perubahan kosmetik.
Universiti yang autonomi bukan bermaksud universiti yang bebas daripada akauntabiliti. Sebaliknya, autonomi mesti disertai tanggungjawab. Kebebasan akademik tidak boleh menjadi lesen untuk menyalahgunakan institusi, manakala kebebasan mahasiswa pula perlu berjalan seiring dengan disiplin, etika dan undang-undang.
Pandangan ini turut ditekankan oleh institusi pendidikan tinggi yang menyokong pemansuhan AUKU, dengan penegasan bahawa kebebasan mahasiswa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab dan pembentukan adab pekerti selari dengan falsafah pendidikan negara.
Cabaran terbesar selepas pemansuhan ialah memastikan universiti tidak terperangkap antara dua ekstrem, iaitu universiti yang terlalu dikawal kerajaan dan universiti yang terlalu bebas tanpa akauntabiliti.

Penyelesaian yang matang ialah membina universiti yang bebas membuat keputusan akademik dan institusi, tetapi tertakluk kepada prinsip integriti, ketelusan, prestasi dan semak imbang serta mencakupi Dasar Pendidikan Negara.
Lebih daripada itu, proses menggubal akta baharu mesti melibatkan suara akademia, mahasiswa, pentadbir universiti, pakar undang-undang, industri dan masyarakat.
Jangan sampai undang-undang yang kononnya mahu memberikan autonomi kepada universiti akhirnya digubal tanpa autonomi universiti itu sendiri.
Akhirnya, ukuran kejayaan pemansuhan AUKU bukanlah berapa ramai mahasiswa boleh berpolitik atau berapa banyak sekatan yang dapat dihapuskan. Ukuran sebenar ialah sama ada universiti Malaysia selepas AUKU menjadi lebih autonomi membuat keputusan yang menyokong Dasar Pendidikan Negara secara lebih matang bebas membuat keputusan.
Ia demi memenuhi kepentingan institusi pendidikan itu sendiri, lebih berani menyelidik, lebih kritikal terhadap kuasa, lebih inovatif dan pada masa sama lebih bertanggungjawab dan berakauntabiliti.
Pemansuhan AUKU wajar disokong jika ia benar-benar menjadi gerbang kepada reformasi pendidikan tinggi. Tetapi jika AUKU hanya dihapuskan pada nama sedangkan struktur kuasa, budaya birokrasi dan campur tangan terhadap universiti kekal sama, maka reformasi itu tidak lebih daripada pertukaran kulit semata-mata.
Malaysia tidak memerlukan sekadar universiti tanpa AUKU. Malaysia memerlukan universiti yang benar-benar mempunyai autonomi, kebebasan akademik dan akauntabiliti.
Itulah ujian sebenar reformasi pendidikan tinggi negara yang harus diperjuangkan demi memartabatkan peranan institusi pengajian tinggi diangkat sebagai wadah pembela pendidikan rakyat hari ini dan masa depan. – MalaysiaGazette

Oleh Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff
Universiti Putra Malaysia
















