Datuk Dr Loga Bala Mohan

JOHOR BAHRU – Penghinaan terhadap simbol negara Malaysia tidak boleh dianggap sebagai kesilapan yang tidak disengajakan malah tidak boleh ditoleransi.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, tiada ruang untuk cuai, lalai atau jahil apabila membabitkan soal simbol Malaysia seperti Jalur Gemilang, lagu Negaraku, jata negara dan Rukun Negara.

“Jalur Gemilang, lagu kebangsaan, lambang negara serta semua simbol lain yang mewakili Malaysia adalah kebanggaan bagi setiap rakyat Malaysia. Ia mesti dihormati, disanjung dan dilayan dengan martabat yang sewajarnya.

“Sebarang tindakan yang tidak menghormati simbol kebangsaan kita adalah tidak boleh diterima dan kita tidak sepatutnya bertoleransi sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tular sebuah kilang dalam kawasan perindustrian di Kulai memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Beliau amat kesal apabila ada pihak tertentu yang masih menunjukkan sikap kurang menghormati simbol-simbol kebangsaan negara dan dalam sesetengah keadaan, sengaja melakukan tindakan yang menghina atau tidak menghormatinya.

Tegas Loga Bala, tingkah laku sedemikian tidak boleh dan tidak harus dibiarkan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana ada pihak yang boleh mendakwa tidak tahu atau jahil dalam bab menghormati negara dan simbol kebangsaan.

Sedangkan katanya, sejak dari bangku sekolah, rakyat Malaysia sudah diajar mengenai Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Rukun Negara serta tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Setiap minggu pelajar sekolah berhimpun, menyanyikan lagu kebangsaan dan menyaksikan pengibaran Jalur Gemilang. Kita melaluinya sepanjang pendidikan rendah dan menengah.

Penguat Kuasa MPKu menutup serta-merta sebuah kilang alat ganti kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

“Apakah ada sesiapa yang benar-benar boleh mendakwa sudah melupakan nilai-nilai ini selepas tamat persekolahan,” soalnya.

Menurut beliau, sesiapa sahaja yang sengaja tidak menghormati simbol negara atau mengabaikan prinsip-prinsip yang menyatukan rakyat Malaysia perlu berdepan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Katanya, saban tahun, terutama pada bulan kemerdekaan, insiden membabitkan kibaran atau paparan Jalur Gemilang secara tidak betul atau tidak sopan pasti berlaku.

“Perkara ini mesti dihentikan. Kita tidak boleh membiarkan setiap insiden berlalu begitu sahaja dengan hanya memberi alasan bahawa ia adalah satu kesilapan. Apabila ia membabitkan maruah dan identiti negara, berhati-hati serta rasa bertanggungjawab yang lebih tinggi mesti diamalkan.

Pihak MPKu mengeluarkan notis penutupan sementara sebuah kilang kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab bersama-sama kita untuk memastikan setiap perkara yang membabitkan simbol kebangsaan dilakukan dengan betul dan penuh rasa hormat. Kita tidak seharusnya melakukan sesuatu perkara itu sekadar untuk melepaskan batuk di tangga.

“Kita mesti meletakkan sepenuh jiwa dan raga dalam setiap perkara yang mewakili negara kita. Marilah kita berbangga dengan Malaysia dan menghayati semangat Merdeka,” katanya.

Loga Bala turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk benar-benar menghargai titik peluh, darah dan pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang demi mencapai kemerdekaan negara ini.

Langkah itu katanya, supaya membantu untuk lebih memahami mengapa simbol kebangsaan wajar diberi penghormatan tertinggi.

“Seseorang yang benar-benar menghargai makna dan kepentingan Merdeka tidak akan pernah mengambil mudah terhadap Jalur Gemilang atau apa-apa sahaja yang mewakili negara kita,” tambahnya.

Semua pihak juga katanya, mesti berusaha untuk membentuk generasi baharu rakyat Malaysia yang cintakan negara, menghargai kemerdekaan dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.

MPKu mengeluarkan notis terhadap kilang terbabit yang memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

“Kebebasan kita tidak dicapai tanpa sebarang pengorbanan. Cara terbaik untuk menunjukkan rasa syukur kita adalah dengan menghormati, melindungi dan menjunjung tinggi segala-galanya yang mewakili Malaysia,” katanya.

Kelmarin polis menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana terlibat memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, Kulai.

Terdahulu tular foto memaparkan Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang secara terbalik depan kilang itu hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan itu Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta-merta operasi kilang berkenaan.

Seorang pemimpin veteran DAP kemudian dilaporkan berpandangan bahawa denda antara RM200 hingga RM1,000 sudah memadai dan tindakan menutup sementara premis berkenaan adalah keterlaluan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here