Sidang media Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan tidak mencetuskan sebarang kekecohan atau mengadakan perhimpunan susulan pertuduhan seorang lelaki yang menjadi sasaran kecaman selepas insiden dalam operasi penangkapan anjing liar dikenali sebagai ‘Rocky’, di Mahkamah Majistret Klang, esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, orang ramai sebaliknya perlu memberi ruang kepada proses perundangan untuk berjalan tanpa sebarang gangguan.

“Saya menasihatkan tidak perlulah diperbesarkan isu ini sehingga mahu diadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan.

“Daripada aspek perundangan, siasatan telah dijalankan dan kita telah kenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai IPK Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, pertuduhan yang akan dijalankan esok membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada agensi penguat kuasa dan membiarkan undang-undang menjalankan prosesnya.

“Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan buat siasatan dan ambil tindakan mengikut lunas-lunas perundangan.

“Jadi kepada masyarakat, berilah kepercayaan dan ruang kepada perundangan untuk melaksanakan bahagiannya. Jadi tidak perlu hadir adakan perhimpunan,” katanya.

Shazeli berkata, bagaimanapun orang ramai yang mahu hadir ke mahkamah untuk menyaksikan prosiding pertuduhan berkenaan dialu-alukan kerana ia terbuka kepada umum.

Dalam masa sama, beliau berkata, kawalan keselamatan di kawasan mahkamah akan dijalankan oleh pihak polis seperti kelazimannya.

“Saya percaya esok OCPD Klang Selatan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Justeru kepada masyarakat, hadirlah dengan penuh tertib dan keamanan. Tidak perlu untuk memecah keamanan esok, biarlah undang-undang menjalankan tugasnya.

“Di mahkamah memang sentiasa dikawal oleh pihak polis, tidak perlu ada kes yang menarik, mahkamah adalah salah satu kawasan yang pihak polis selalu kawal,” katanya.

Terdahulu, Shazeli mengesahkan polis menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menjalankan pertuduhan terhadap individu terbabit.

Katanya, pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Klang esok, namun waktu prosiding perlu dirujuk kepada pihak mahkamah.

Sebagai rekod, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat mengesahkan anak guamnya Muhammad Shah Hizam, 24, akan didakwa di Mahkamah Klang, esok.

Media sebelum ini melaporkan operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertukar kecoh dengan apabila dihalang seorang wanita sebelum membawa kematian anjing berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here