KUALA LUMPUR – Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia ke-13 (13th Malaysian Road Conference & Exhibition 2026) bakal menjadi platform memperkukuh teknologi serta inovasi kejuruteraan jalan tempatan ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penganjuran MRC 2026 bertemakan “Transforming the Nation Through Future Ready Roads” akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur jalan yang berdaya tahan, mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Beliau berkata, persidangan itu akan berlangsung bersama 6th International Road Federation Global Asia-Pacific Regional Congress di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 13 hingga 15 Oktober ini.
Katanya, MRC 2026 menyasarkan kehadiran 1,000 peserta selain menghimpunkan kira-kira 100 pembentang kertas kerja teknikal untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan berkaitan teknologi dan inovasi dalam bidang kejuruteraan jalan.
“Jalan bukan sekadar menghubungkan destinasi, tetapi turut membantu meningkatkan ekonomi, membuka peluang kepada komuniti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran MRC 2026 di WTCKL, hari ini.
Menurutnya, antara pengisian persidangan termasuk pembentangan teknikal, pameran, lawatan teknikal, Road Engineering Excellence Award, program kecerdasan buatan (AI), program perkongsian serta Young Engineers and Professionals (YEP).
Beliau berkata, sebanyak 109 ruang pameran turut disediakan bagi mengetengahkan teknologi, produk dan inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan jalan raya.
“Tema Future Ready Roads bermula dengan future ready thinking. Kita tidak mahu ketinggalan dalam pendigitalan dan kecerdasan buatan, sebaliknya perlu sentiasa melakukan anjakan paradigma dalam kaedah kita membina dan memikirkan sesuatu,” katanya.
Ahmad berkata, perkembangan teknologi seperti Building Information Modelling (BIM) dan AI perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor kejuruteraan jalan negara terus berkembang seiring kemajuan teknologi global.
Dalam pada itu, beliau berkata, MRC 2026 turut menyediakan ruang kepada penuntut institusi pengajian tinggi untuk mengetengahkan hasil akademik menerusi Malaysia Road Conference Invention & Innovation Exhibition 2026 (MRC-IIE 2026).
Beliau berkata, peserta persidangan turut berpeluang mengikuti lawatan teknikal ke beberapa projek infrastruktur strategik termasuk West Coast Expressway (WCE), Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC), ECRL dan EKVE.
“Selain hadir ke persidangan, peserta dari luar negara juga berpeluang mengenali Malaysia, termasuk budaya dan warisan negara, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk melihat perkembangan sektor infrastruktur kita,” katanya.
Ahmad berkata, penganjuran MRC 2026 bersama Kongres Serantau Asia-Pasifik International Road Federation yang melibatkan keanggotaan dari 118 negara diharap dapat memperluas jaringan serta membawa teknologi dan inovasi kejuruteraan jalan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
MRC 2026 dianjurkan Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Road Engineering Association Malaysia (REAM), dengan kerjasama serta sokongan rakan strategik dan pemain industri. – MalaysiaGazette















