KUALA LUMPUR – Salah guna sumber dan jentera kerajaan serta penggunaan sentimen perkauman, agama dan kandungan manipulatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) semakin mencemari kempen pilihan raya, menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Bersih berkata, berdasarkan pemantauan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, penggunaan program, kemudahan serta jentera kerajaan untuk tujuan kempen masih berlaku, terutama ketika persaingan sengit.
Katanya, antara bentuk yang dikesan termasuk kehadiran calon atau ahli politik dalam program kerajaan, penggunaan logo parti, seruan mengundi calon tertentu serta pemberian manfaat kepada rakyat.
“Antara aktiviti yang sering dijalankan dan boleh menjadi kesalahan pilihan raya termasuk cabutan bertuah, pesta makan durian percuma, pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan cuci gigi secara percuma, pemberian dana atau bantuan serta pengumuman peruntukan pembangunan baharu,” kata gabungan tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.
Bersih berkata, penggunaan sumber kerajaan dalam kempen mewujudkan padang permainan tidak sama rata kerana calon tertentu mempunyai akses kepada sumber dan jentera kerajaan.
Dalam masa sama, Bersih memandang serius penggunaan sentimen perkauman dan agama serta kandungan media sosial yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan AI untuk mempengaruhi pengundi.
“Biarlah rakyat menilai parti dan calon berdasarkan apa yang mereka tawarkan dan prestasi mereka, bukan berdasarkan sentimen perkauman, ketakutan atau kandungan palsu yang direka untuk memanipulasi emosi dan pilihan pengundi,” katanya.
Sehubungan itu, Bersih mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepat reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebelum PRU-16.
Antara tuntutannya ialah menjadikan penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan, mewajibkan audit penyata perbelanjaan calon dan parti politik serta mewujudkan mekanisme lebih tegas menangani politik perkauman melampau dan manipulasi digital.
Bersih turut mahu kuasa SPR diperluas bagi mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan pilihan raya yang boleh dikompaun.
“Penggunaan sumber dan jentera kerajaan yang menggunakan wang rakyat tidak wajar digunakan untuk memberikan kelebihan kepada calon parti pemerintah,” katanya.
Menurut Bersih, reformasi berkenaan turut didesak Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia (KPPRM) Integriti, Governans dan Antirasuah bagi memastikan pilihan raya negara lebih bersih, bebas dan adil. – MalaysiaGazette
















