JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan 14 ahlinya termasuk seorang wanita dan merampas dadah bernilai RM7.93 juta dalam tiga serbuan di Seri Alam di sini, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dilakukan pukul 3.45 petang.
“Menerusi serbuan di kawasan perumahan berpagar dan dikawal pengawal keselamatan itu, lapan lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 35 hingga 65 tahun ditahan.
“Polis juga merampas 216 gram syabu, 22.72 kilogram (kg) serbuk disyaki ekstasi serta dua mesin yang dipercayai digunakan untuk memproses ekstasi selain peralatan pembungkusan semula dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah rakit di Masai dan menahan empat lelaki tempatan serta menemukan 572 gram serbuk disyaki ekstasi.
Katanya, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Ulu Tiram pula, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan sebelum polis merampas 230 katrij cecair disyaki syabu sebanyak 0.575 liter; 1.149 kg serbuk ekstasi dan 358 gram syabu.
Turut ditemukan, katanya, 9,625 biji pil Erimin-5 seberat 1.925kg serta 18.4 liter cecair disyaki ketamin yang disimpan dalam 24 botol plastik.
Beliau memberitahu, secara keseluruhan, rampasan membabitkan 40.381kg serbuk MDMA; 23.869kg serbuk ekstasi; 23,025 biji pil Erimin-5 seberat 5.775kg; 574 gram syabu; 4.91kg ketamin; 18.4 liter cecair ketamin dan 0.575 liter cecair syabu.

Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mampu merosakkan sehingga 323,841 penagih jika terlepas ke pasaran, katanya.
Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai stor sebelum bekalan dadah diedarkan ke pasaran tempatan.
“Siasatan mendapati setiap suspek mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai runner, pembantu, penjaga stor, mekanik bot dan penjaga rumah rakit, manakala seorang lagi dipercayai menjadi dalang sindiket serta seorang suspek dipercayai terlibat dalam pemprosesan pil ekstasi dan katrij vape,” ujarnya.

Semua suspek katanya, direman sehingga 25 Ogos ini dan enam daripada sembilan suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita lima kereta, dua bot laju serta wang tunai RM11,320 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM8.14 juta.- MalaysiaGazette
















