Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

ALOR SETAR – Sebanyak 69 kertas siasatan tatatertib (KST) membabitkan 90 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kedah dibuka sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata tindakan tegas itu melibatkan 11 pegawai kanan polis, 76 pegawai rendah polis serta tiga pegawai awam yang berkhidmat di negeri itu.

“Jika dilihat, kita sudah melepasi pertengahan tahun dan jumlah KST menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas. Pada 2025, sebanyak 155 KST telah dibuka melibatkan 294 individu dengan pecahan sebanyak 39 pegawai kanan polis, 248 pegawai rendah polis dan tujuh pegawai awam.

“Bagi tempoh 1 Jan 2025 hingga Jun 2026, kesalahan yang direkodkan merangkumi tiga kes jenayah syariah, empat kes jenayah komersial, tujuh kes rasuah, 11 kes trafik, 24 kes dadah, 33 kes jenayah dan 142 pelbagai salah laku tatatertib lain,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Adzli berkata pihaknya tidak melindungi mana-mana individu yang merosakkan imej polis dan tindakan tegas telah diambil dengan menahan, menggantung dan membuang kerja terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

“Saya ingin tegaskan di sini kerana masyarakat masih kurang faham, mereka selalu kata polis lindungi warga sendiri, paling teruk pun individu berkenaan akan dipindahkan sahaja. Tindakan tahan kerja ini bukanlah satu hukuman, tetapi tindakan awal untuk mencegah atau menghentikan seseorang itu daripada terus melakukan kesalahan yang sama.

“Contohnya, kalau dia terlibat dengan kegiatan samun dan pemerasan terhadap masyarakat, demi kepentingan awam, kita akan tukarkan dia serta-merta ke bahagian yang tidak mempunyai akses kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Beliau berkata walaupun individu berkenaan dikenakan tindakan tahan kerja, siasatan tetap diteruskan sehingga tindakan sewajarnya diambil.

Sementara itu, ditanya tentang kejadian bunyi ketukan misteri yang dilaporkan mengganggu penduduk di beberapa kawasan dalam daerah Kota Setar, Adzli berkata pihaknya mengambil maklum keresahan penduduk dan polis meningkatkan rondaan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here