Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan 17 syor penambahbaikan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara dengan enam tindakan segera atau ‘Quick Wins‘ diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan, saringan dan pengurusan risiko.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan bersama memaklumkan, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri semalam menerusi Memorandum Bersama KDN dan MOT susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

Enam langkah segera yang akan dilaksanakan ialah saringan bersasar berasaskan risiko; e-Vetting dan kawalan akses; saringan dadah terhadap personel penerbangan; peningkatan kehadiran pasukan keselamatan; penyelarasan serta perkongsian maklumat keselamatan dan penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT.

Menurut kenyataan itu, menerusi saringan bersasar, pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko akan dipertingkatkan.

“Bagi e-Vetting dan kawalan akses pula, prosedur tapisan keselamatan akan diteliti serta diperkukuh melibatkan kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad,” menurut kenyataan itu.

KDN dan MOT berkata, kerajaan turut memperkukuh saringan dadah prapengambilan, berkala dan secara rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

Dalam masa sama, kehadiran nyata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik akan ditingkatkan sebagai langkah pencegahan, termasuk penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Aspek perkongsian maklumat keselamatan dan risikan juga akan diperkukuh melalui National Immigration Command Centre (NICC).

Tambah kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT pula akan ditubuhkan segera dan dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KDN serta Ketua Setiausaha MOT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi dan memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.

“Enam langkah berkenaan menjadi keutamaan bagi fasa jangka pendek sebelum pelaksanaan keseluruhan 17 syor secara berperingkat.

“Bagi fasa jangka sederhana, tumpuan diberikan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat, tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan tahap risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” ujarnya.

Katanya lagi, pelan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah.

“KLIA akan menjadi lokasi perintis sebelum pelan tindakan itu diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi,” katanya.

KDN dan MOT turut menegaskan, pelaksanaan semua syor akan dibuat secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.

Katanya, langkah tersebut diharap dapat memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here