KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan seks melibatkan wanita warga asing selepas menahan 26 individu termasuk pasangan warga Bangladesh-Thailand yang dipercayai ‘dalang utama’ dalam operasi khas di Jalan Kuchai Lama dan sekitar Jalan Gelugor, di sini, kelmarin.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 10.50 malam itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘penjaga premis’ atau ‘kapten’ dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun dan terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, seorang wanita Thailand, seorang lelaki tempatan, tiga lelaki Myanmar, tiga wanita Bangladesh, 14 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam serta seorang wanita Myanmar.
“Semakan awal mendapati, kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi turut menyita empat pasport Bangladesh, satu pasport Thailand dan satu pasport Indonesia, selain telefon bimbit, kondom serta wang tunai RM1,215 yang disyaki hasil kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, hasil risikan mendapati premis kediaman dan perniagaan berkenaan dijadikan lokasi menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan membabitkan wanita warga asing sebagai pekerja seks.
Katanya, premis kediaman itu dipromosikan kepada pelanggan, khususnya warga Bangladesh di Lembah Klang menerusi platform media sosial.
“Dalang utama dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport mereka, manakala aktiviti di premis kediaman dijalankan secara tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bagi premis perniagaan pula, kegiatan dipercayai dikawal seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai ‘kapten’,” katanya.
Menurut Zakaria, pelanggan dikenakan bayaran RM200 bagi tempoh 60 minit di premis kediaman, manakala kadar di premis perniagaan pula antara RM260 hingga RM400 bagi tempoh 90 minit.
Kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Pasangan warga asing dan seorang warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, seramai tujuh lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Zakaria menegaskan, JIM akan terus mengambil tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















