Majlis Penukaran Dokumen Perjanjian antara UTHM dan KTMB yang berlangsung di dalam Tren Sewa Khas KTMB.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus memperkukuh hubungan strategik dalam bidang teknologi rel menerusi kerjasama yang memberi tumpuan kepada pembelajaran berasaskan kerja (WBL), penyelidikan bersama, pembangunan kompetensi serta perkongsian kepakaran industri.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Majlis Penukaran Dokumen Perjanjian antara UTHM dan KTMB yang berlangsung di dalam Tren Sewa Khas KTMB, sekali gus menjadi simbolik kepada usaha kedua-dua pihak memperluas sinergi akademia-industri dalam pembangunan teknologi dan bakat rel negara.

Penukaran dokumen perjanjian berkenaan diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, manakala KTMB pula diwakili Ketua Pegawai Korporat, Megat Khairulazhar Khairodin bagi tempoh tiga tahun bermula Oktober 2026 hingga Julai 2029.

Kerjasama strategik itu turut mengambil makna yang lebih istimewa apabila dilaksanakan bersempena Majlis Peluncuran Rel Merdeka 69 dan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 Peringkat UTHM, yang diselaraskan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK), UTHM sebagai penganjur utama, dengan penglibatan rakan strategik industri rel.

Menurut Prof. Mas Fawzi, kerjasama UTHM bersama KTMB bukan sekadar memperluas jaringan akademia dan industri, malah mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang benar-benar bersedia memenuhi keperluan industri rel negara.

“Kerjasama strategik bersama KTMB ini memperlihatkan kesungguhan UTHM untuk memastikan pendidikan dan penyelidikan yang dilaksanakan sentiasa dekat dengan keperluan sebenar industri.

“Melalui WBL, penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran, pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu akademik, tetapi turut berpeluang memahami operasi, teknologi dan cabaran sebenar industri rel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Penukaran Dokumen Perjanjian antara UTHM dan KTMB yang berlangsung di dalam Tren Sewa Khas KTMB.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030 (GTU2030) yang menekankan pengintegrasian ilmu, teknologi, inovasi dan keusahawanan dalam pembangunan bakat serta penyelesaian kepada keperluan industri dan masyarakat.

“Lebih bermakna, kerjasama ini dilaksanakan dalam suasana Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69, yang mengangkat sektor pengangkutan rel sebagai antara komponen penting dalam pembangunan negara.

“Kita mahu semangat merdeka diterjemahkan melalui usaha membina generasi berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan teknologi negara,” tambahnya.

Sementara itu, Megat Khairulazhar berkata, kerjasama dengan UTHM membuka ruang kepada KTMB untuk memanfaatkan kepakaran akademik, teknologi serta kemudahan penyelidikan universiti dalam menyokong penyelesaian kepada isu operasi dan teknikal industri rel.

“Kerjasama ini memberi manfaat dua hala, yang mana KTMB dapat memanfaatkan kepakaran, teknologi dan kemudahan penyelidikan UTHM bagi menyokong penyelesaian isu operasi serta mengoptimumkan kos penyelidikan dan pembangunan.

“Manakala UTHM pula mendapat akses kepada persekitaran serta permasalahan sebenar industri yang dapat memperkukuh kerelevanan dan impak penyelidikan,” katanya.

Antara fokus utama kerjasama ialah pelaksanaan WBL bagi pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel dengan Kepujian.

Melalui pendedahan secara langsung kepada persekitaran operasi KTMB, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik, meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional serta memahami keperluan sebenar industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Selain itu, UTHM dan KTMB akan meneroka pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang teknologi rel dengan menggabungkan kepakaran akademik serta kemudahan penyelidikan UTHM bersama pengalaman operasi dan data industri KTMB.

Sinergi itu berpotensi menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal terhadap cabaran teknikal berkaitan tren dan infrastruktur rel.

Kerjasama tersebut turut merangkumi perundingan akademik bagi program diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang teknologi kejuruteraan pengangkutan rel di Akademi KTM (MyRA), selain perkongsian ilmu melalui forum industri, lawatan akademik dan aktiviti pembangunan kompetensi.

Dalam aspek pembangunan modal insan pula, kedua-dua pihak akan bekerjasama meningkatkan kelayakan dan kompetensi kakitangan melalui peluang melanjutkan pengajian, program latihan serta pemindahan ilmu dan kepakaran.

Pendekatan itu dijangka dapat memperkukuh profesionalisme warga industri, di samping membolehkan UTHM memperoleh input industri secara langsung bagi memperkayakan pengajaran, penyelidikan dan pembangunan program akademik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here