Sesi lawatan delegasi B Project Academy Holding Sdn Bhd bersama para pensyarah ke fasiliti makmal pengajaran dan penyelidikan FSMP UMS.

 

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) telah mengadakan kerjasama dengan B Project Academy Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia latihan kecergasan dalam membangunkan modul pemakanan bagi membantu masyarakat mengamalkan pemakanan sihat secara selamat dan mampan.

Inisiatif tersebut merangkumi penghasilan pelbagai bahan pendidikan pemakanan seperti buku panduan pengiraan keperluan tenaga dan protein, cadangan menu harian serta resipi sihat.

Modul berkenaan dibangunkan bagi membantu klien B Project Academy Holding Sdn Bhd dalam mencapai sasaran berat badan dan tahap kesihatan yang optimum melalui panduan pemakanan yang lebih terancang.

Pensyarah Kanan FSMP UMS, Dr. Khor Ban Hock berkata, kerjasama itu merupakan usaha untuk mengaplikasikan kepakaran akademik dalam keperluan sebenar industry dan masyarakat.

“Kolaborasi ini merupakan langkah proaktif fakulti dalam mentransformasikan kepakaran akademik kepada aplikasi praktikal industri.

“Penyediaan bahan pendidikan pemakanan yang praktikal dan berstruktur ini membolehkan hasil penyelidikan dalam bidang sains pemakanan diterjemahkan secara langsung bagi membimbing masyarakat mencapai gaya hidup sihat dengan lebih berkesan,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama strategik seperti itu mengukuhkan lagi peranan UMS dalam menerajui jaringan akademia-industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang integrasi kepakaran tempatan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Selain menyediakan latihan kecergasan, B Project Academy Holding Sdn Bhd juga adalah hab kesihatan holistik di Sabah yang mengendalikan pelbagai fasiliti serta program kecergasan, termasuk B Wellness Studio, Cycling Lab, Prove Fitness Lab dan B Project Hub. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here