Penyelia ditahan polis bagi membantu siasatan kejadian Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Seorang penyelia ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, suspek lelaki berusia 56 tahun itu ditahan susulan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan semalam.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Balai Polis Gelang Patah menjalankan pemeriksaan di lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga batang tiang bendera dipasang di hadapan premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati satu Jalur Gemilang dan satu bendera Johor dikibarkan dalam keadaan terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian menahan lelaki terbabit yang bekerja sebagai penyelia di kilang berkenaan bagi membantu siasatan selain merampas masing-masing sehelai Jalur Gemilang dan bendera Johor.

Saifullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku memasang kedua-dua bendera itu kelmarin serta mendakwa pemasangan dalam keadaan terbalik berlaku secara tidak sengaja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 505B Kanun Keseksaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang tindakan yang melibatkan penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang serta bendera negeri.

“Orang ramai khususnya pemilik premis, pihak pengurusan dan individu yang bertanggungjawab memasang bendera dinasihatkan supaya memastikan pemasangan dibuat dengan betul serta sentiasa menghormati lambang kebesaran negara dan negeri,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang masih dijalankan.

Portal ini hari ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat memakumkan sebanyak tiga kertas siasatan di seluruh Johor sudah pun dibuka babitkan isu pasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Menurut Chuan Huat, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berkenaan sebelum merujuk ke pejabat Jabatan Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.

“Tiga kes dilaporkan itu membabitkan siasatan di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, IPD Iskandar Puteri dan IPD Johor Bahru Selatan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here