JOHOR BAHRU – Sambutan Bulan Kebangsaan sewajarnya menjadi ruang untuk memperkukuh semangat cintakan negara dan menghormati lambang kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, ia termasuk mempererat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor dengan penuh rasa bangga, hormat dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan Bangsa Johor.
“Dalam masa yang sama, semangat patriotisme tersebut hendaklah disertai dengan kesedaran dan tanggungjawab untuk memastikan Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang serta dikibarkan dengan cara yang betul dan mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, isu pemasangan bendera secara terbalik yang tular baru-baru ini di Johor, pihak berkuasa telah pun mengambil tindakan sewajarnya.
Kerajaan negeri, katanya, memandang serius sebarang perkara yang melibatkan penggunaan dan penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan bendera Johor sebagai lambang identiti, perpaduan dan kedaulatan negara.
Pada masa sama pemantauan terhadap perkembangan kes akan terus dilaksanakan oleh pihak berkaitan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, ia bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang serta tindakan yang bersesuaian dapat diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.
“Saya turut menyeru kepada semua pihak, khususnya pengurusan sekolah, jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemilik premis swasta agar mengambil perhatian terhadap tatacara pemasangan bendera dan memastikan bendera negara kita sentiasa dikibarkan dalam keadaan yang sempurna dan penuh rasa hormat.
“Dalam era penyebaran maklumat yang pantas, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menghasilkan berita palsu berkaitan isu ini,” katanya.
Tambahnya, sebarang maklumat yang tidak tepat hanya boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Portal ini hari ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat memakumkan sebanyak tiga kertas siasatan di seluruh Johor sudah pun dibuka babitkan isu pasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Menurut Chuan Huat, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berkenaan sebelum merujuk ke pejabat Jabatan Peguam Negara bagi arahan selanjutnya.
“Tiga kes dilaporkan itu membabitkan siasatan di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, IPD Iskandar Puteri dan IPD Johor Bahru Selatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















