Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.

KUALA LUMPUR  – Beberapa pasukan yang akan bertandang ke saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) kini sibuk mempersiapkan diri sebelum terbang ke Malaysia untuk menghadapi saingan lapan peringkat bermula 27 September hingga 4 Oktober depan.

Walaupun beberapa pasukan seperti Picnic PostNL, Equipo Kern Pharma, Caja Rural Seguros RGA, Bardiani CSF 7 Saber dan Burgos Burpellet-BH sudah memberi senarai awal enam pelumba serta nama beberapa pelumba simpanan kepada Sekretariat LTdL26, ia dijangka berubah hinggalah senarai muktamad enam pelumba dikemukakan pengurus masing-masing sehari sebelum perlumbaan bermula.

Sejak awal Ogos ini, pasukan handalan berstatus WorldTeam seperti XDS Astana dan Picnic PostNL serta pasukan ProTeam seperti Tudor Pro Cycling, TotalEnergies, Bardiani, Unibet Rose Rockets, Caja Rural, Kern Pharma dan Burgos menyertai pelbagai pertandingan berbentuk jelajah dan perlumbaan sehari berstatus UCI World Tour (UWT) dan ProSeries di serata Eropah.

Malah pendatang baharu ProTeam dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling yang tampil dengan jersi warna merah hati (maroon) turut agresif  ‘keluar benua’ bagi menguji barisan pelumbanya di Eropah sekali gus mencari tahap kecergasan dan rentak kayuhan yang diperlukan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, semua medan perlumbaan diperlukan untuk mencari pelumba yang benar-benar cocok bagi menghadapi bentuk cabaran di LTdL26.

“Kita tahu LTdL26 kali ini ada cabaran tersendiri kerana selain faktor cuaca panas terik yang menanti, tiga pendakian ke puncak yang mana dua daripadanya adalah berstatus Kategori Hors (Cameron Highlands dan Genting Highlands) manakala satu Kategori 1 (Gunung Jerai).

“Setiap pengurusan pasti ada kriteria penilaian sendiri untuk memilih pelumba yang dapat mengharungi setiap cabaran, sambil menepati sasaran yang ditetapkan mereka iaitu sama ada mengejar gelaran individu keseluruhan, berpasukan keseluruhan, Raja Bukit atau menguasai beberapa peringkat laluan landai menerusi pakar pecut dan gelaran Raja Pecut,” kata Emir dalam kenyataan.

Berdasarkan senarai, lima pasukan dalam senarai LTdL26 sedang berlumba di Czech Tour manakala enam pasukan menyertai Arctic Race of Norway sejak Khamis lalu selepas menyertai perlumbaan sehari Donostia San Sebastian (1 Ogos) dan jelajah Tour de Pologne (3 Ogos).

Mereka dijangka menyambung program perlumbaan di Renewi Tour (Belgium) dan Lidl Deutschlands Tour pada 19 Ogos, diikuti Grand Tour terakhir, Vuelta a Espana (22 Ogos).

September juga menjadi medan penilaian pelumba apabila mereka menyertai Lloyd’s Tour of Britain (2 September); Skoda Tour of Luxembourg (16 September) dan Croatia Race (22 September), kesemuanya berstatus 2.ProSeries.

Peluang terakhir merasai saingan bertaraf tinggi adalah di perlumbaan sehari GP Cycliste de Quebec dan GP Montreal sebelum Kejohanan Dunia di Montreal, atau bagi yang tidak tersenarai untuk pasukan kebangsaan, berkayuh di LTdL26.

Biar pun penganjuran Kejohanan Dunia 2026 yang berlangsung di Montreal, Kanada bertembung dengan tempoh yang sama dengan LTdL26, Emir berkata, setiap pasukan mempunyai rujukan sendiri untuk membuat pilihan.

“Sama seperti tahun lalu, Kejohanan Dunia di Rwanda juga berlangsung pada tempoh yang sama tetapi setiap pasukan sudah membuat persediaan awal kerana mereka ada senarai pelumba yang ramai sehingga mencecah lebih 30 orang.

“Jadi tiada masalah untuk pasukan melepaskan pelumba yang diperlukan oleh pasukan negara masing-masing, dan memilih pelumba yang benar-benar bersedia, cergas dan bebas daripada kecederaan untuk dihantar menyertai kejohanan lain seperti LTdL,” kata Emir lagi.

Malah beberapa pasukan yang sudah menghantar senarai awal pelumba dijangka membuat rombakan terakhir sebelum terbang ke Malaysia, dua atau tiga hari sebelum Peringkat 1 Shah Alam ke Kampar bermula pada 27 September.

“Kami sudah menerima beberapa nama pelumba dalam senarai awal yang mereka hantar tetapi berdasarkan pengalaman, nama-nama ini akan terus berubah hinggalah pada saat-saat sebelum mereka dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur,” katanya.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries membabitkan jarak keseluruhan sejauuh 1,285.5km, dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here