LONDON – Manchester United dilaporkan semakin hampir untuk mencapai kesepakatan bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Brighton & Hove Albion, Carlos Baleba.
Menurut laporan eksklusif wartawan The Athletic, David Ornstein, Man United telah mengemukakan tawaran sekitar £60 juta dan tambahan £5 juta dalam bentuk tambahan untuk mendapatkan pemain tengah berusia 22 tahun dari Cameroon itu.
Bagaimanapun, nilai tersebut masih berada di bawah penilaian yang ditetapkan Brighton dan rundingan antara kedua-dua kelab dilaporkan berlangsung dalam suasana positif dengan semua pihak terus berusaha mencapai persetujuan.
“Baleba menjadi antara sasaran utama Manchester United bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan.
“Manchester United kini dikatakan mahu menyelesaikan rundingan tersebut secepat mungkin bagi memastikan pemain berkenaan dapat menjadi sebahagian daripada skuad Michael Carrick.
“Rundingan masih berlangsung dan Manchester United semakin hampir untuk merealisasikan perpindahan Baleba ke Old Trafford,” katanya.
Man United sebelum ini telah memantau potensi Baleba sebagai pemain yang mampu memberikan tambahan penting di bahagian tengah.
Kekuatan fizikal, kemampuan memenangi perebutan bola serta kebolehannya melindungi barisan pertahanan dianggap sesuai dengan keperluan skuad kendalian Michael Carrick.
Sementara itu, Ornstein turut mendedahkan Baleba kini sedang dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ligamen pada buku lalinya.
Menurutnya, kecederaan tersebut tidak berada pada tahap serius seperti yang dibimbangkan pada awalnya.
Baleba juga dijangka tidak perlu berehat untuk tempoh panjang dan dijangka kembali cergas sepenuhnya menjelang penghujung September ini. – Agensi
















