KLANG – Tindakan saman boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melabelkan Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom sebagai individu yang ‘membunuh’ atau ‘menyeksa’ anjing bernama Rocky.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan, ia kerana tiada perkataan berkenaan di dalam pertuduhan yang dibacakan terhadap anak guamnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Rafique berkata, pihaknya kini sedang meneliti kenyataan, laporan dan hantaran yang dibuat berhubung kes berkenaan termasuk oleh individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
“Please tell me mana perkataan bunuh. Please tell me mana perkataan seksa. Please tell me mana perkataan pukul.
“Kalau pertuduhan itu tidak ada perkataan membunuh, kepada mereka yang selama ini melabelkan Shah seorang yang kejam, membunuh dan sebagainya.
“Saya rasa ini adalah peluang terbuka kepada anda untuk memohon maaf kepada seorang pemuda yang baru berusia 24 tahun,” katanya pada sidang media selepas prosiding mahkamah, di sini hari ini.
Menurutnya, pihak yang membuat kenyataan sedemikian perlu memahami setiap dakwaan yang dilemparkan bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit malah turut menjejaskan keluarga dan rakan-rakan anak guamnya.
“Ramai orang sebenarnya telah menulis pelbagai perkara dan mereka yang menulis pelbagai perkara ini datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Ada yang pernah duduk dalam Parlimen, sekarang tidak duduk dalam Parlimen pun ada juga. Nanti, tunggu saman keluar,” katanya.
Rafique bagaimanapun menegaskan, tindakan undang-undang itu bergantung kepada bentuk kenyataan yang dibuat serta kesannya, sambil meminta pihak terbabit menunggu perkembangan selanjutnya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan serta label yang dilemparkan kerana perkara itu turut mencetuskan gangguan dan ancaman terhadap Shah serta keluarganya.
“Kesannya bukan pada diri mereka. Efeknya adalah pada diri keluarga Shah, kepada Shah sendiri, ibu dan ayah Shah, rakan-rakan Shah dan penduduk kawasan tersebut.
“Ada ancaman keselamatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafique menegaskan, pertuduhan terhadap Shah adalah berhubung dakwaan menyebabkan kesakitan kepada seekor anjing jantan menggunakan tali bukannya pertuduhan membunuh haiwan tersebut.
Beliau berkata, Shah didakwa mengikut peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan telah mengaku tidak bersalah serta memohon untuk dibicarakan.
“Berita yang tepatnya, nombor satu, Shah dituduh di bawah Akta Kebajikan Haiwan. Dia hanya dituduh untuk menyebabkan atau mendatangkan kesakitan.
“Ketiga, dia tidak mengaku bersalah. Keempat, dia mohon dibicarakan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Shah diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat supaya dia melaporkan diri kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekali sebulan.
Rafique berkata, pihak pembelaan sebelum itu membantah tawaran jaminan RM20,000 yang dikemukakan pihak pendakwaan kerana berpendapat jumlah tersebut terlalu tinggi dan tidak selari dengan prinsip bahawa seseorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Prosiding pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 8 Oktober bagi urusan termasuk serahan dokumen berkaitan kes.
Rafique turut menegaskan, Shah bukan kakitangan mana-mana jabatan atau pihak berkuasa tempatan sebaliknya seorang sukarelawan.
Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak khususnya pengamal media dan pengguna media sosial tidak membuat kesimpulan sebelum kes dibicarakan.
“Jangan mereka-reka cerita terutama mereka yang ada tugas dan tanggungjawab untuk melaporkan berita yang tepat.
“Ini bukan isu perkauman. Ini hanya satu isu di mana malangnya haiwan telah mati dan ada isu yang membabitkan dua pihak. Semuanya akan dibicarakan semasa perbicaraan,” katanya.
Dalam kes sama, wanita yang didakwa sebagai pemilik Rocky turut berdepan dua pertuduhan.
Menurut Rafique, satu daripada pertuduhan itu akan dibicarakan bersama kes Shah di mahkamah sama manakala satu lagi dibicarakan di Mahkamah Majistret.
Rafique turut mengulangi gesaan supaya pihak yang membuat tuduhan serius terhadap anak guamnya bertanggungjawab terhadap kenyataan masing-masing.
“Tidak ada istilah bunuh. Tidak ada istilah seksa. Tunggu saman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















