KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jualan yang julung kali diadakan secara dalam talian itu akan memberi peluang kepada seluruh rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Mengambil semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia serta inisiatif yang diambil oleh TikTok Shop, saya sambut untuk meneruskan inisiatif dan ikhtiar ini.
“Saya mahu selarikan ini dengan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya ketika merasmikan Tiktok Summit Malaysia 2026 hari ini.
Sehubungan itu, Anwar mahu inisiatif bagi menghargai seluruh rakyat berkenaan dihebahkan secara meluas supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata, langkah berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga yang lebih rendah.
Untuk rekod, Program Jualan Rahmah diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai kempen jualan barangan keperluan asas dengan tawaran diskaun antara 10 hingga 30 peratus.
Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, selain memastikan barangan keperluan asas dapat diperoleh pada harga lebih berpatutan. – MalaysiaGazette
















