Xisco (kiri) dan Bergson Da Silva dalam sidang akhbar sidang akhbar praperlawanan antara JDT dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berjuang habis-habisan untuk terus menjulang Piala Sumbangsih dalam aksi perlawanan malam esok selepas menang selama lapan musim berturut-turut sejak 2018.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, Harimau Selatan tidak akan membiarkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah terlepas daripada genggaman apabila berdepan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

“Perlawanan pembuka tirai Liga Super 2026/2027 itu bukan sahaja penting untuk mengorak langkah kanan bagi mempertahankan kejuaraan liga, malah menjadi pentas buat Harimau Selatan memburu rekod dunia baharu.

“JDT kini selangkah untuk mencipta rekod dunia iaitu 109 perlawanan liga tanpa kalah terpanjang di dunia sejak 2021, sekali gus mengatasi rekod yang dipegang kelab dari  Ivory Coast, ASEC Mimosas dengan 108 kemenangan sejak dari tahun 1989 hingga 1994,” katanya.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata demikian dalam sidang akhbar praperlawanan antara JDT dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Munoz mengakui perlawanan berkenaan amat penting buat Harimau Selatan untuk memahatkan nama JDT di peta bola sepak global yang menjadi kebanggaan seluruh pemain dan penyokong kelab tersebut.

“Esok adalah hari yang sangat penting untuk kami. Saya harap ia menjadi hari istimewa buat kelab, penonton dan semua yang sudah berusaha menyokong kami.

“Kami bercakap mengenai rekod dunia dan bukan mudah untuk mencapai keadaan ini. Jadi, kami perlu fokus dan memberikan segala-galanya,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak mahu terbuai dengan keagungan rekod tersebut dan akan membariskan kesebelasan terbaik untuk memastikan impian mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah tercapai.

Menurut Munoz, biarpun rekod pertemuan memihak kepada JDT, beliau tidak akan memandang ringan tentangan The Cats yang mempunyai struktur pertahanan yang baik selain memiliki pemain yang berkualiti.

“Kami tahu situasi dan perkara berbeza dalam permainan ini. Mereka sangat berbahaya ketika melakukan transisi dan mempunyai pemain yang bagus.

“Kami perlu berkonsentrasi, fokus dan bersaing kerana esok adalah perlawanan yang sangat penting. Kami mempunyai lawan yang hebat,” katanya.

Sementara itu, ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva melihat keterujaan untuk memburu rekod dunia berkenaan sebagai satu bentuk tekanan positif yang mampu meningkatkan motivasi pasukan.

Penyerang kelahiran Brazil itu berkata, barisan pemain diingatkan supaya tidak terlalu memikirkan rekod berkenaan sebaliknya memberi tumpuan kepada taktikal permainan yang diterapkan selain menggalas tugas dengan penuh komited sepanjang perlawanan.

“Setiap perlawanan mempunyai perasaan yang berbeza. Esok kami mempunyai pencapaian yang besar untuk dicapai, mempertahankan rekod dan berjuang untuk mendapatkan trofi sekali lagi.

“Tekanan ini adalah tekanan yang baik. Kami mempunyai mentaliti dan rancangan sendiri dan itu yang akan kami gunakan untuk perlawanan esok (ini),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here