KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk segera memutuskan sokongan terhadap Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata perkara itu tidak wajar ditangguhkan memandangkan tempoh persediaan dan kelayakan ke LA28 semakin mencabar, dengan Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2026 di Shanghai bakal menyusul selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadualkan dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Beliau berkata PKBM menghormati kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Road to Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam bahawa keputusan berkaitan program itu hanya akan dibuat selepas Sukan Asia, namun berpandangan pengecualian boleh dipertimbangkan dalam kes tertentu demi kepentingan negara.
“Kami menghormati pandangan bahawa keputusan RTG hanya akan dibuat selepas Sukan Asia. Namun, setiap dasar dan keputusan dibuat oleh manusia dan dalam keadaan tertentu, pengecualian boleh dibuat sekiranya keadaan memerlukannya.
“Dalam kes Azizulhasni, faktor masa sangat kritikal. Kita tidak boleh tunggu hingga selepas Sukan Asia dan kemudian baru mulakan perbincangan mengenai hala tuju. Kejohanan dunia yang menyusul selepas itu adalah bahagian penting daripada perjalanan kelayakan LA28,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amarjit, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia dan Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata PKBM kekal dengan pendirian Malaysia masih memerlukan Azizulhasni dan mahu pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu meneruskan perjuangan ke LA28.
Beliau berkata bekas juara dunia yang merangkul emas keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini telah membuktikan beliau masih mampu bersaing dan meraih kemenangan di peringkat tertinggi, selain terus membawa harapan negara dalam usaha memburu kejayaan di pentas Olimpik.
“Beliau juga memerlukan kepastian untuk merancang program latihan, pertandingan, komitmen bersama keluarga serta penajanya.
“Adalah tidak wajar untuk seorang atlet yang telah beri begitu banyak kepada negara terus berada dalam keadaan tidak pasti mengenai sokongan terhadap perjalanan seterusnya,” tambah Amarjit.
Dalam pada itu, beliau berharap KBS, MSN dan RTG dapat mempertimbangkan perkara itu serta memberikan keputusan sebelum bermulanya Sukan Asia 2026.
“Ini bukan soal memberi layanan istimewa. Ini soal membuat keputusan yang tepat pada waktunya demi kepentingan sukan negara. Jika kita benar-benar mahu memberi Azizulhasni peluang terbaik untuk membawa cabaran Malaysia ke LA28, keputusan itu perlu dibuat sekarang,” katanya. – BERNAMA
















