ISKANDAR PUTERI – Ketiadaan dua tonggak utama Kuching City FC tidak mematahkan semangat juang pasukan itu untuk beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam esok.
The Cats bertekad mahu mencipta kejutan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan tersebut biarpun dua pemain utamanya cedera dan tidak dapat diturunkan.
Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengakui persiapan mereka terjejas akibat krisis kecederaan serta masalah visa ketika kem latihan pramusim di Chiang Mai, Thailand.
Namun, pihaknya percaya komitmen dan semangat juang anak buahnya mampu menghadirkan saingan sengit ketika berdepan Harimau Selatan.
Aidil Sharin berkata, skuad kendaliannya terpaksa merencana strategi tanpa dua tonggak utama, Rodney Celvin dan Jimmy Raymond yang disahkan terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan sewaktu tugas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
“Bukan lagi rahsia, kedua-dua cedera ketika bersama skuad kebangsaan. Dalam tempoh singkat satu atau dua hari ini, mereka pasti tidak sempat cergas sepenuhnya dan sah terlepas perlawanan menentang JDT.
“Sebelum itu, tiga pemain import kami iaitu James Okwuosa, Jerome Mpacko Etame dan Ronald Ngah terlepas aksi pramusim di Chiangmai, sekali gus menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini.
“Namun, apa yang penting esok ialah sikap dan komitmen 100 peratus yang ditunjukkan pemain di atas padang,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Ditanya mengenai status pemain pinjaman daripada JDT iaitu Nazmi Faiz Mansor, Declan dan Ryan Lambert, Safawi Rasid dan Ajdin Mujagic, Aidil Sharin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tak mahu bercakap mengenai status pemain pinjaman dari JDT itu kerana ia agak sensitif.
“Tambahan pula, mereka adalah pemain baharu yang perlu menyesuaikan diri dengan pasukan, kita akan lihat siapa pemain yang akan bersedia untuk diturunkan,” ujarnya.
Perlawanan malam esok mencatat sejarah tersendiri buat Kuching City apabila buat pertama kali beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih, selain akan bersaing di peringkat antarabangsa menerusi Piala Shopee dan Kejohanan Kelab AFC musim ini.
Sementara itu, Kapten Kuching City, Okwuosa optimis barisan pertahanan yang menampilkan gabungan baharu seperti Gabriel Peres dan Irfan Zakaria mampu mengekang jentera serangan Harimau Selatan.
“Apa sahaja rencana yang dirancang pasukan lawan, kami hanya akan memberi tumpuan kepada diri sendiri untuk mengeratkan keserasian dan membina persefahaman.
“Bola sepak adalah mengenai daya saing dan kami hadir untuk mencipta kejutan serta membina sejarah baharu buat kelab dan penyokong,” katanya.- MalaysiaGazette
















