Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan secara konsisten terhadap mana-mana pihak yang didapati mengibarkan atau menggunakan Jalur Gemilang secara tidak wajar tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani berkata, isu membabitkan Jalur Gemilang perlu dilihat sebagai perkara serius kerana ia menyentuh simbol kedaulatan dan maruah negara.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu dilaporkan berlaku berulang kali termasuk di Pantai Buruk, Terengganu membabitkan dua buah kilang di Johor serta sebuah program yang mempunyai kaitan dengan DAP.

Menurutnya, semua kes berkenaan perlu dinilai berdasarkan fakta dan keadaan sebenar, bukannya dijadikan bahan untuk menyerang mana-mana pihak atas kepentingan politik.

“Sebarang tindakan yang melibatkan pemasangan, pengibaran atau penggunaan Jalur Gemilang secara tidak wajar perlu diteliti berdasarkan keadaan dan fakta setiap kes.

“Sekiranya terdapat unsur kecuaian, pelanggaran peraturan atau kesalahan di sisi undang-undang, pihak berkuasa hendaklah menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani

Ashraf berkata, AMK Perak tidak berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang, namun pada masa sama tidak mahu isu berkenaan dijadikan senjata politik oleh mana-mana pihak.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten supaya tidak timbul persepsi bahawa wujud layanan berbeza bergantung kepada siapa yang melakukan kesalahan.

“Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan senjata politik. Prinsip undang-undang mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa hipokrasi.

“Tiada kompromi terhadap penghormatan kepada Jalur Gemilang dan tiada tempat untuk standard dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pendekatan yang sama perlu digunakan terhadap semua kes supaya penghormatan terhadap Jalur Gemilang kekal sebagai prinsip bersama dan tidak dipengaruhi kepentingan politik atau partisan.

AMK Perak juga menegaskan sebarang tindakan penguatkuasaan perlu berasaskan undang-undang serta bukti yang jelas, bukannya tekanan atau sentimen awam.

“Yang penting ialah prinsip yang sama digunakan kepada semua. Jika terdapat kesalahan, ambil tindakan berdasarkan undang-undang dan jangan memilih pihak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here