KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor bagi pembangunan kerangka perundangan baharu yang akan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dimansuhkan.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu merupakan antara empat langkah utama yang diambil supaya kerangka perundangan baharu itu lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan.
Menurutnya, langkah lain termasuk melaksanakan libat urus menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Selain itu, tambahnya, turut diambil adalah langkah memuktamadkan kerangka dasar dan perundangan sebagai asas kepada Rang Undang-Undang baharu serta menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi.
“Proses ini akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan kelompangan perundangan atau menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi,” katanya.
Terdahulu, menurut kenyataan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) semalam bersetuju supaya kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi dibangunkan melalui pendekatan One Higher Education Act (OHEA), susulan pemansuhan AUKU.
Ujarnya, ia selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, dan keputusan tersebut disifatkan langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh, yang dapat memperkukuh institusi, melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















