Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurusan FELDA di Tenara Hotel and Suites Bangi. Foto AIZAT ZAINAL, 21 OGOS 2026.

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijalankan secara telus serta segera.

Beliau berkata, sebarang permasalahan yang berlaku perlu dikenal pasti secara menyeluruh dan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu turun ke lapangan dan memahami permasalahan sebenar, bukannya hanya bergantung kepada laporan di peringkat pengurusan.

“Pertamanya, kita harus tahu sepenuhnya permasalahan. Masalah besar ini bukan masalah yang menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk mengurus semuanya. Kita harus tahu apa isu sebenar.

“Bukan masalah duduk di pejabat. Sudah di lapangan, kita tahu permasalahan,” katanya.

Beliau berucap dalam program sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus Felda 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata, sebarang isu membabitkan pengurusan, peraturan dan keputusan perlu ditangani secara serius, termasuk memastikan tindakan susulan dibuat terhadap sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan dan negara.

Beliau menegaskan, masalah yang telah dikenal pasti tidak seharusnya hanya dibentangkan kepada pihak tertinggi sebelum tanggungjawab penyelesaiannya diserahkan kepada pihak lain.

“Saya mahu semua masalah ini diurus dengan serius. Kalau ada masalah, kita mesti tahu masalahnya dan kita mesti ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meminta semua pihak yang bertanggungjawab supaya bekerja lebih keras, fokus dan prihatin dalam memastikan setiap keputusan serta tindakan yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan segera.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan masalah legasi atau tanggungjawab lama untuk terus menangguhkan penyelesaian terhadap isu yang telah dikenal pasti.

Anwar turut menegaskan beliau akan memastikan pelaksanaan program asas untuk rakyat dapat dilaksanakan segera, termasuk perkara yang tidak perlu menunggu pembentangan Belanjawan pada Oktober.

Beliau berkata, walaupun ekonomi negara mencatat pertumbuhan sekitar enam peratus, kerajaan tetap perlu memberi perhatian kepada masalah rakyat termasuk kos sara hidup dan tekanan ekonomi yang masih dihadapi.

Semalam, Anwar menegaskan siasatan terhadap dakwaan salah laku yang didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dan Felda tidak didorong unsur dendam politik.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan atau keputusan pendakwaan kerana ia adalah bidang kuasa agensi penyiasat dan Peguam Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here