MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan keputusan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai terlalu awal untuk diputuskan.
Menurutnya, keputusan mengenai calon dan bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka masih belum dibuat kerana BN sendiri masih dalam proses melihat pihak mana yang boleh bekerjasama dengannya.
“Itu (pengumuman Dr Akmal) terlalu awal lagi lah, sebab kita tak buat keputusan siapakah jodoh kita, belum ada lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Dr Akmal sebelum ini yang menegaskan tidak akan bertanding sekiranya BN dan PH membentuk kerjasama pada PRN Melaka akan datang.
Ab Rauf berkata, sehingga kini masih belum ada pertemuan rasmi dengan mana-mana pihak bagi memulakan rundingan berkaitan formula BN Plus.
“Masih belum lagi ada satu titik pertemuan secara rasmi untuk saya memulakan rundingan ataupun perbincangan tentang yang saya katakan BN Plus.
“Belum ada lagi, tetapi saya sekali lagi menegaskan bahawa walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata BN Melaka terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti, termasuk PKR, PAS atau mana-mana pihak yang berminat.
Menurutnya, perkara utama bagi BN Melaka ialah mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu.
“Tentu ada perubahan dalam kerusi-kerusi yang lain, tapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kita pertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette
















