KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mahu kepimpinan parti memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi kepada sayap itu untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Permintaan itu disuarakan Mohd Zulfadli Amiruddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sekali gus menunjukkan kesediaan Pemuda Wilayah untuk diberi kepercayaan membawa suara anak muda di kawasan bandar.
“Pemuda Wilayah dengan rasa rendah hati ingin mohon jasa baik Kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia agar perjuangkan sekurang-kurangnya satu kerusi untuk Pemuda Wilayah Persekutuan agar jadi calon Barisan Nasional di PRU akan datang,” katanya.
Dalam ucapan sama, Mohd Zulfadli yang juga Pemuda UMNO Batu menegaskan pendirian untuk tidak menarik sokongan, dengan menyifatkan tindakan itu seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, katanya, pendirian berkenaan tidak bermaksud Pemuda UMNO Wilayah akan berdiam diri atau mengorbankan hak untuk terus bersuara dan mengkritik.
“Tak tarik sokongan bukan bermaksud kita perlu berdiam diri. Kita boleh terus bersuara, tanpa meruntuhkan negara.
“Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan sampai bermusuh. Kita boleh mengkritik, tapi jangan sampai hilang adab. Dan kita boleh berjuang, tapi jangan gadaikan masa depan,” katanya.
Malah, Mohd Zulfadli memberi mesej tegas bahawa sebarang ugutan tidak akan mematahkan semangat Pemuda UMNO Wilayah untuk meneruskan perjuangan.
“Kepada pihak yang sedang ugut kami, teruskan ugutan kamu itu. Nak ugut kami, ugut lah. Nak gari kami, gari lah. Nak sarung baju oren, sarung lah. Perjuangan kami takkan terhenti,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Pemuda UMNO tidak mahu sekadar menjadi penerima dasar, sebaliknya mahu diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam proses pembentukan dasar, khususnya yang menyentuh kepentingan anak muda.
“Pemuda UMNO tidak mahu hanya mendengar. Pemuda UMNO juga mahu duduk di meja, bagi pandangan, selesaikan masalah, dan akhirnya membuat dasar,” katanya.
Beliau berkata, politik yang dibawa kepada generasi muda perlu berteraskan prestasi dan tanggungjawab, bukan sekadar retorik atau janji.
“Bukan siapa paling banyak bercakap. Tetapi siapa paling banyak selesai masalah. Bukan siapa paling banyak berjanji. Tetapi siapa paling banyak tunaikan,” katanya.
Katanya, peluang kepada Pemuda UMNO untuk bertanding pada PRU-16 bukan semata-mata soal jawatan atau kedudukan, sebaliknya penting bagi memastikan suara generasi muda mempunyai perwakilan yang lebih jelas dalam pentadbiran dan politik bandar. – MalaysiGazette
















