Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pendekatan tenang, rasional dan berasaskan realiti yang ditampilkan Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat mampu menjadi model kepimpinan yang diperlukan UMNO untuk bangkit dan kembali relevan dalam landskap politik semasa.

Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, kekuatan ucapan Timbalan Presiden UMNO itu ketika perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam bukan terletak pada retorik atau seruan emosional.

Sebaliknya, menurut beliau, Mohamad berani mengakui UMNO masih belum pulih sepenuhnya sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan masa depan parti itu tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti lain.

“Pemimpin tidak perlu menjerit untuk kelihatan kuat, tidak perlu menjadi demagog (berucap emoasi) untuk mencipta kesetiaan dan tidak perlu membakar emosi khalayak untuk membuktikan keberanian.

“Dalam banyak hal, pemimpin yang paling meyakinkan ialah mereka yang mampu berbicara dengan tenang sambil menyampaikan hakikat yang tidak menyenangkan tetapi perlu didengar,” katanya, hari ini.

Dr Wan Hashim Wan Teh
Dr Wan Hashim Wan Teh

Menurut bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pendekatan Mohamad itu selari dengan konsep kepimpinan yang dikemukakan ahli sosiologi Jerman, Max Weber, yang menekankan tiga sifat utama ahli politik iaitu semangat, rasa tanggungjawab dan kebolehan menilai sesuatu secara seimbang.

Katanya, Mohamad tidak cuba menjual nostalgia kepada ahli UMNO, sebaliknya mengajak parti itu memahami perubahan pengundi, termasuk kewujudan generasi digital, kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, perumahan, media sosial dan perubahan psikologi pengundi.

“Pada usia 70 tahun, pandangan beliau sama sekali tidak kedengaran seperti seorang ahli politik yang masih terperangkap dalam kerangka politik tahun 1980-an.

“Sebaliknya, beliau berusaha memahami generasi yang memperoleh maklumat daripada media sosial, menilai calon melalui prestasi semasa dan tidak lagi mempunyai kesetiaan politik yang bersifat automatik,” katanya.

Wan Hashim berkata, pengalaman luas Mohamad dalam dunia korporat dan politik turut membentuk pendekatan tersebut, termasuk pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan; Timbalan Presiden UMNO; pemangku tugas Presiden UMNO; Menteri Pertahanan dan kini Menteri Luar.

Beliau berkata, pengalaman Mohamad mengurus UMNO ketika parti itu kehilangan kerajaan pada 2018 juga penting kerana beliau bukan sekadar bercakap mengenai pengurusan krisis, malah pernah berdepan sendiri dengan keadaan berkenaan.

“Mohamad bukan sekadar bercakap mengenai bagaimana sesebuah organisasi harus diurus ketika krisis, tetapi beliau sendiri pernah dipertanggungjawabkan mengurus UMNO ketika parti itu benar-benar kehilangan kerajaan, keyakinan dan arah,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Hashim melihat konsep contextual intelligence yang dikemukakan sarjana politik Amerika Syarikat, Joseph S. Nye Jr., turut dapat dikaitkan dengan pendekatan Mohamad.

Katanya, pemimpin berkesan perlu memahami perubahan persekitaran dan menyesuaikan strategi mengikut keadaan, bukannya menganggap satu formula politik boleh digunakan untuk semua negeri atau pilihan raya.

“Dalam ucapan Mohamad, pemikiran seperti ini muncul dengan jelas apabila beliau menolak idea bahawa satu formula politik boleh digunakan di semua negeri atau semua pilihan raya kerana Johor tidak sama dengan Sabah, pengundi muda tidak sama dengan pengundi lama dan kemenangan pada satu pilihan raya tidak secara automatik menjamin kemenangan pada pilihan raya berikutnya,” katanya.

Menurut beliau, aspek lain yang menarik ialah kesederhanaan Mohamad ketika menyentuh isu Melayu dan Islam apabila beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak menakutkan bukan Melayu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, penegasan supaya UMNO kekal sebagai parti centrist menunjukkan identiti Melayu tidak semestinya perlu dijadikan ancaman kepada komuniti lain.

“Seruan Mohamad kepada ‘politik budiman’ iaitu politik yang menegur tanpa memaki, berbeza tanpa mencerca dan menentang fitnah tanpa membalasnya dengan fitnah, memperlihatkan satu usaha untuk mengangkat mutu budaya politik itu sendiri,” katanya.

Wan Hashim berkata, pendekatan berkenaan juga mempunyai persamaan dari sudut prinsip dengan beberapa tokoh kepimpinan antarabangsa seperti Angela Merkel, Lee Kuan Yew dan Nelson Mandela, khususnya dari segi ketenangan, pragmatisme dan keupayaan berdepan realiti.

Bagaimanapun, katanya, perbandingan itu bukan bermaksud menyamakan Mohamad dengan tokoh berkenaan, sebaliknya memberikan gambaran mengenai standard kepimpinan yang diperlukan dalam politik semasa.

“Kesemua contoh ini tidak menjadikan Mohamad sama dengan mereka, tetapi ia membantu kita memahami standard kepimpinan yang diperlukan oleh negara ketika ini.

“Kebesaran seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur melalui seberapa kuat dia menumbuk meja, tetapi melalui seberapa jauh dia mampu melihat, seberapa rasional dia menilai risiko dan seberapa tenang dia membawa orang lain memahami realiti,” katanya.

Wan Hashim berkata, sekiranya tiba masanya Mohamad memikul amanah sebagai Presiden UMNO, persoalan utama bukan lagi mengenai pengalaman kerana pengalaman itu sudah ada, tetapi sama ada pengalaman tersebut telah bertukar menjadi kebijaksanaan.

“Ucapan mutakhir beliau memberikan alasan yang kukuh untuk mengatakan bahawa tanda-tanda itu memang wujud.

“Pemimpin besar tidak semestinya orang yang bersuara paling lantang di dalam bilik. Orang yang paling bernilai ialah mereka yang apabila bercakap dengan nada yang tenang, seluruh dewan tetap mahu mendengar, bukan kerana mereka takut kepadanya, tetapi kerana apa yang keluar daripada mulutnya mempunyai visi, fakta, pengalaman, kesederhanaan dan akal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here