KUALA LUMPUR – Keluarga kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya anjing yang menyerang mangsa merupakan haiwan peliharaan atau milik keluarga.
Penafian itu dibuat bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd Hanafiah susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung status pemilikan anjing terbabit.
Menerusi hantaran di Threads, Shahrizal menjelaskan anjing berkenaan bukan milik keluarga, sebaliknya merupakan zuriat anjing pemburu yang dilahirkan di kawasan semak berhampiran kebun sebelum dibiarkan hidup seperti haiwan lain di kawasan tersebut.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Sekali lagi saya tegaskan, anjing tersebut adalah zuriat anjing pemburu.
“Dilahirkan di semak kebun, dibiarkan hidup seperti mana haiwan lain seperti babi hutan, monyet liar dan lain-lain,” katanya.
Shahrizal turut mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan keluarga mangsa dengan pemilikan anjing berkenaan.

“Adakah membiarkan anjing tersebut hidup bermaksud kami memilikinya? Kenapa perlu wujud naratif untuk menyalahkan keluarga mangsa?” tulisnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keluarga mereka menghormati usaha pihak yang memperjuangkan kebajikan dan nasib haiwan, namun memohon semua pihak menghormati keadaan Nur Haira Wafiqah yang kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kami menghormati perjuangan membela nasib haiwan. Namun untuk saat dan ketika ini, saya sangat memohon supaya hormatilah adik Haira yang sedang bertarung nyawa di ICU dan jaga perasaan Abi dan Umi adik Haira.
“Hentikan spekulasi dan tuduhan tak berasas. Ujian mereka dah cukup besar. Saya merayu sangat,” katanya.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada pukul 7 pagi Sabtu lalu, Nur Haira Wafiqah diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Serangan itu mengakibatkan kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan tersebut mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















