KUALA LUMPUR – Beras 10 kilogram berharga RM36, diesel RM4.57 seliter dan tiket penerbangan ke Semenanjung boleh mencecah lebih RM1,000 sehala.
Itulah realiti kos sara hidup yang menurut Wanita UMNO Sabah semakin menghimpit rakyat khususnya di kawasan pedalaman.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Keningau, Siti Noor Zati Kamelah Sairin mendedahkan, tekanan ekonomi itu paling dirasai golongan berpendapatan rendah dan wanita yang menguruskan perbelanjaan keluarga setiap hari.
Beliau memberi contoh seorang ibu tunggal di pedalaman yang perlu menyara lima anak dalam keadaan harga barangan asas di Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung.
Menurutnya, harga beras 10 kilogram di Sabah disebut sekitar RM36 berbanding RM26 di Kuala Lumpur manakala telur pula sekitar RM18 hingga RM20 lebih bagi satu papan.
Keadaan itu, katanya, menjadi lebih berat bagi penduduk pedalaman yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja dan mencari rezeki.
Siti Noor Zati berkata, terdapat pengguna kenderaan pacuan empat roda yang terpaksa membayar diesel RM4.57 seliter walaupun kenderaan itu digunakan untuk mencari rezeki, sedangkan mereka tidak layak menikmati kadar RM2.10 seliter.
Justeru, beliau meminta kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi diesel bersasar di Sabah supaya kelayakan tidak hanya berdasarkan pemilikan kenderaan tetapi turut mengambil kira tujuan penggunaannya.
“Jangan hanya lihat siapa memiliki kenderaan tetapi lihat bagaimana kenderaan itu digunakan untuk mencari rezeki,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam bidang ekonomi.
Dalam isu tambang penerbangan pula, beliau berkata, kenaikan harga tiket pada saat akhir boleh menjadi beban besar kepada keluarga B40 terutama apabila berlaku kematian atau kecemasan yang memerlukan mereka pulang segera ke Semenanjung atau Sabah.
Katanya, pernah berlaku seorang pelajar Universiti Malaya tidak dapat pulang untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya kerana harga tiket yang dibeli pada saat akhir terlalu mahal.
Sehubungan itu, Siti Noor Zati mencadangkan kerajaan mewujudkan tambang khas bagi pelajar, keluarga berpendapatan rendah dan perjalanan kecemasan selain menetapkan had harga maksimum yang munasabah bagi penerbangan Sabah-Semenanjung.
Beliau berkata, penerbangan merupakan penghubung utama Sabah dengan Semenanjung dan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai perkhidmatan komersial kerana kenaikan tambang yang mendadak memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat.
Dalam perbahasan sama, beliau turut menegaskan, pengiktirafan terhadap wanita perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan kuota minimum 30 peratus calon wanita, selaras dengan peranan mereka sebagai antara tunjang utama kekuatan parti di akar umbi. – MalaysiaGazette
















