KUALA LUMPUR – Kerjasama dalam kerajaan Perpaduan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berdiam diri apabila perkara berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu disentuh dalam perdebatan politik.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Keningau, Siti Noor Zati Kamelah Sairin berkata, UMNO menghormati persepakatan yang dibentuk di peringkat Persekutuan namun terdapat prinsip asas yang tidak boleh dikompromi atas nama kerjasama.
Beliau berkata, antara perkara yang perlu dihormati ialah kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian itu disuarakan ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO susulan perdebatan mengenai kenyataan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa perlu menjalani hukuman sepenuhnya.
Siti Noor Zati berkata, pandangan mengenai hukuman perlu dibezakan daripada kuasa pengampunan yang merupakan bidang kuasa tersendiri di bawah Perlembagaan.
“Kalau salah, hukum. Kita tidak melindungi orang yang melakukan kesalahan tetapi dalam masa sama, kita mesti menghormati Perlembagaan dan kuasa yang diberikan kepada institusi raja,” katanya.
Menurutnya, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan dalam bidang kuasa Persekutuan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu hukuman sebagai alasan untuk mempertikaikan atau mengetepikan bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.
Katanya, UMNO perlu konsisten mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai sebahagian daripada asas perjuangan parti, termasuk ketika berdepan perbezaan pendirian dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Siti Noor Zati menegaskan, pendirian tersebut bukan bermaksud UMNO menolak tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbukti melakukan kesalahan.
Sebaliknya prinsipnya mudah iaitu kesalahan perlu dihukum melalui proses undang-undang, manakala sebarang kuasa yang diberikan Perlembagaan kepada institusi diraja perlu terus dihormati.
Beliau berkata, kerjasama politik sepatutnya dibina atas persefahaman dan saling menghormati, bukannya memaksa mana-mana parti mengetepikan prinsip yang menjadi asas perjuangannya.
Siti Noor Zati turut menyeru ahli Wanita UMNO supaya terus mempertahankan prinsip parti dengan berani bersuara apabila perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan disentuh, tanpa mengira siapa yang membuat kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette
















