Dennis Lim menunjukkan antara dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis menahan lima individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.4 juta menerusi tiga operasi berasingan di negeri ini bulan lalu.

Operasi berkenaan turut membawa kepada penyitaan enam kenderaan bernilai RM58,000 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, operasi pertama pada 21 September lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun di Jalan Masjid Negeri, di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan susulan membawa polis kepada sebuah kereta yang diparkir dan dipercayai digunakan untuk menyimpan serta memproses dadah.

“Polis turut merampas 8.83 kilogram (kg) heroin, 5.35 kg serbuk kafein dan peralatan memproses heroin dengan nilai keseluruhan RM443,518,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi kedua pada 22 September lalu pula membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 27 hingga 42 tahun di Sungai Nibong di sini.

Katanya, hasil penahanan itu, polis menjalankan dua lagi serbuan di Jalan Tun Dr Awang dan Sungai Nibong Kecil, sebelum menemukan 3.26 kg serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan lima liter cecair MDMA bernilai RM1.2 juta.

“Dalam operasi ketiga pada Ahad lalu, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang disyaki pengedar dadah ditahan di sekitar Jalan Seladang, Bukit Mertajam.

“Dadah bernilai RM1.8 juta dirampas membabitkan 11.8 kg serbuk MDMA, 183 biji pil ekstasi dan Erimin 5 serta 70 gram serbuk ketamin.

“Hasil risikan mendapati kesemua suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Julai lalu dan empat daripada mereka didapati positif dadah, manakala seorang mempunyai rekod lampau,” katanya.

Kesemua suspek direman selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here