KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk meneruskan rawatan selepas menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Negarawan berusia 101 tahun itu menziarahi pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya sebelum kembali ke hospital berkenaan.
Terdahulu, Dr Mahathir masih menerima rawatan di IJN, seperti disahkan Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff.
Bagaimanapun, Sufi tidak memperincikan keadaan kesihatan beliau.
Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum ini memaklumkan, bapanya dibawa ke IJN untuk pemerhatian selepas melalui tempoh mencabar susulan pemergian ibu mereka.
Menurut Mokhzani, keadaan Dr Mahathir ketika itu baik dan tidak membimbangkan.
Allahyarhamah Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada jam 9.20 pagi, 28 September lalu pada usia 100 tahun.
Jenazah beliau selamat disemadikan di Pusara Negara pada jam 6.20 petang hari sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, dengan dihadiri Dr Mahathir, anak-anak serta ahli keluarga.
Pemergian Allahyarhamah mengakhiri perjalanan rumah tangga selama 70 tahun bersama Dr Mahathir, selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M ziarah pusara Dr Siti Hasmah pagi ini
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pagi ini
















