KUALA LUMPUR: Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara menyiasat keseluruhan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) UiTM, susulan perkembangan terbaharu mengenai tatakelola dan pengurusan kewangan UiTM Holdings.
Menurut KMUiTM, perhatian terhadap UiTM Holdings tidak sepatutnya menyebabkan persoalan PFI UiTM yang melibatkan komitmen konsesi berjangka panjang dan nilai kewangan berbilion ringgit kembali dilupakan.
Ia ujarnya, khususnya apabila persoalan mengenai kaedah perolehan dan kos konsesi projek itu telah dibangkitkan sejak 2014.
Tambahnya, rekod rasmi Parlimen menunjukkan UiTM menerima RM881.44 juta peruntukan pembangunan pada 2022, tetapi RM857.70 juta atau 97.31 peratus daripadanya diperuntukkan untuk caj tetap PFI merangkumi Availability Charges, Maintenance Charges dan Maintenance Reserve Fund.
Pada 2023 pula, tambahnya, RM864.93 juta atau 95.03 peratus daripada RM910.70 juta peruntukan pembangunan diperuntukkan bagi caj tetap PFI.
“Angka tersebut menimbulkan persoalan mengenai kos lepas (opportunity cost) PFI kepada universiti.
“Setiap ringgit yang diperuntukkan untuk memenuhi komitmen konsesi jangka panjang tidak boleh digunakan pada masa yang sama untuk keperluan pembangunan lain.
“Ia seperti penyelenggaraan kampus, naik taraf fasiliti, pelaksanaan program pembangunan mahasiswa, pengambilan tenaga akademik tetap, pembinaan kolej kediaman serta kebajikan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut KMUiTM, persoalannya bukan sekadar berapa kos sebuah kampus dibina, tetapi berapa jumlah yang dibayar sepanjang hayat konsesi dan apa yang UiTM terpaksa korbankan kerana sebahagian besar peruntukan pembangunannya terikat kepada komitmen tersebut.
Katanya, hakikat bahawa PFI masih mempunyai komitmen kewangan yang aktif menjadikan persoalan lama itu relevan untuk diperiksa semula, bukannya sekadar diarkibkan sebagai kontroversi 2014. – MalaysiaGazette
















