Seorang lelaki yang melarikan lori curi ditahan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melarikan sebuah lori curi sebelum dipandu secara melawan arus dan melanggar sebuah kereta polis semalam, ditahan reman tiga hari bermula hari ini.

Majistret Tan Chiew King membenarkan tempoh penahanan reman hingga Sabtu ini selepas suspek yang merupakan warga tempatan berusia 30-an tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.30 pagi tadi.

Semalam polis menahan suspek yang melarikan sebuah lori dipercayai dicuri di Plentong di sini pukul 7.20 pagi dan kes itu tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, suspek memandu lori warna hijau berkenaan secara melawan arus dan dikejar beberapa kereta peronda polis sehingga kira-kira 100 kilometer.

Kata beliau, semasa mengejarnya, lori tersebut melanggar sebuah kereta polis dan enggan berhenti, namun berjaya diiberkas di kawasan Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada pukul 10.20 pagi.

Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan polis terhadap suspek menemukan sepaket plastik lutsinar dipercayai dadah.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” ujarnya.

Terdahulu portal ini melaporkan polis mengejar sebuah lori berwarna hijau dipercayai dicuri dan dipandu secara berbahaya termasuk melawan arus.

Video berdurasi 35 saat memaparkan aksi itu tular dalam media sosial.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here