KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa yang bebas, khususnya terhadap keperluan perlindungan setiap individu serta risiko yang mungkin mereka hadapi sekiranya dihantar pulang.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata, perhatian khusus hendaklah diberikan kepada kanak-kanak, pelarian dan pencari suaka, mangsa pemerdagangan orang serta individu lain yang berada dalam keadaan rentan.
Menurutnya, pihak antarabangsa yang berkaitan dengan perlindungan juga hendaklah diberikan akses sewajarnya bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.
“Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mengurus migrasi dan keselamatan negara, namun tanggungjawab tersebut hendaklah dilaksanakan selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut SUHAKAM, sebarang penghantaran pulang mestilah benar-benar dilakukan secara sukarela dan berdasarkan maklumat yang mencukupi, dengan perlindungan sewajarnya.
Ujarnya, ia bagi memastikan tiada individu dihantar pulang dalam keadaan di mana mereka berdepan risiko kemudaratan serius.
Dalam masa sama, SUHAKAM turut menggesa kerajaan lebih telus mengenai sebarang penghantaran pulang yang dirancang dan mendedahkan maklumat berkaitan mereka yang dikenal pasti untuk dihantar pulang, termasuk pecahan maklumat yang telah dipohon oleh pihaknya sebelum ini.
Tegasnya, ketelusan yang lebih menyeluruh adalah penting bagi memastikan keperluan perlindungan dapat dikenal pasti dengan sewajarnya, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan yang lain.
Katanya, ia juga bagi memberi jaminan bahawa obligasi hak asasi manusia Malaysia dipatuhi sepenuhnya.
“Tiada kanak-kanak seharusnya dihantar pulang ke tempat yang boleh membahayakan mereka.
“Keselamatan, maruah dan kepentingan terbaik mereka mesti diutamakan. Komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia akhirnya harus dicerminkan melalui cara prinsip-prinsip ini dilaksanakan apabila nyawa, keselamatan dan kesejahteraan golongan rentan dipertaruhkan,” katanya.
Kelmarin, seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0, sekali gus menjadi kumpulan pertama daripada 5,000 individu yang dipersetujui untuk dihantar pulang secara berperingkat.
Kesemua individu dalam fasa pertama itu dikenal pasti kerajaan Myanmar sebelum senarai nama mereka dikemukakan kepada Malaysia melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















